Dakwaan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Slabi dicemari racun disiasat - Utusan Malaysia

Dakwaan bekalan air mentah ke Loji Rawatan Air Slabi dicemari racun disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 26 Jun – Kerajaan negeri memandang serius dakwaan air mentah dari sungai Batang Sadong yang disalurkan ke Loji Rawatan Air Slabi untuk bekalan air kepada penduduk di Serian telah dicemari racun.

Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, arahan segera telah dikeluarkan kepada kakitangan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Katanya, tindakan mengambil sampel air mentah untuk diuji telah dilakukan oleh pihak JBALB.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JBALB telah mengambil sampel air mentah yang didakwa tercemar racun ini untuk diuji di dua makmal berbeza iaitu milik kerajaan dan milik swasta.

“Hasil ujian berkenaan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas portal berita, DayakDaily pada 20 Jun lalu yang melaporkan dakwaan Pengerusi DAP Cawangan Serian, Edward Andrew Luwak bahawa sumber air mentah yang diambil dari Sungai Sadong yang dirawat di Loji Rawatan Air Slabi untuk dibekalkan kepada penduduk Serian, adalah tercemar dengan bahan kimia dan racun.

Edward mendakwa, pencemaran air tersebut adalah berpunca daripada pembukaan ladang kelapa sawit yang begitu luas di kawasan tadahan Sungai Sadong.

Mengulas lanjut, Stephen Rundi berkata, kementeriannya bersama JBALB di bawah kerajaan negeri komited memastikan keselamatan penggunaan air terjamin, di samping mengekalkan pematuhan standard kualiti tinggi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti.

“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) berterusan melaksanakan pemantauan dan kawalan ke atas kualiti air melalui Program Pemantauan Kualiti Air Sungai (RWQMP).

“Jadi, kualiti air mentah dan air terawat di Loji Rawatan Air Slabi sentiasa dipantau bagi mengawal kualiti serta memastikan air selamat digunakan dan memenuhi Standard Kualiti Air Minuman oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini