KUALA LUMPUR 26 Jun – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan laman web khas untuk mendapatkan input, cadangan serta maklum balas daripada penduduk dalam kawasan pentadbirannya bagi membentuk Cadangan Bajet MBPJ 2019.
MBPJ dalam kenyataannya berkata, orang ramai digalakkan menyumbang idea, cadangan dan pandangan sebagai persediaan maklumat belanjawan tahunan 2019 pihak berkuasa tempatan itu.
Menurutnya, cadangan tersebut boleh dilakukan melalui laman web http://www.mbpj.gov.my/ms/mbpj/media-centre/announcements/jemputan-untuk-memberikan-cadangan-idea%C2%A0dan-maklum-balas-berkenaan.
“Laman khas cadangan bajet berkenaan memfokuskan lapan kategori utama antaranya cadangan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan dan lalu lintas, saliran, cerun serta kemudahan awam.
“Turut diberi perhatian sebarang cadangan berhubung perkhidmatan landskap, pembangunan sisa pepejal dan pembersihan awam, kesihatan persekitaran serta keselamatan dan pembangunan kemasyarakatan,” katanya melalui kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut MBPJ lagi, orang ramai digalakkan mengemukakan sebanyak mungkin input serta mengambil peluang dalam pembentukan Bajet MBPJ 2019 menerusi laman web khas berkenaan yang dibuka kepada umum sejak 12 Jun lalu sehingga 15 Julai ini. – UTUSAN ONLINE










