VOLGOGRAD – Jaringan Salem Al-Dawsari pada masa kecederaan nyata menggembirakan Arab Saudi apabila mereka akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama pada edisi Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Mesir 2-1 pada aksi yang berlangsung di Arena Volgograd malam tadi.
Perlawanan kedua-dua pasukan tersebut sekadar pelengkap jadual kumpulan A selepas Uruguay yang mengumpul sembilan mata diikuti pasukan tuan rumah, Rusia yang meraih enam mata berjaya mara ke pusingan seterusnya.
Dalam aksi itu, Mesir yang dibimbing Hector Cuper memperoleh gol pembukaan hasil jaringan penyerang sensasinya, Mohamed Salah pada minit ke-22 yang memperdayakan penjaga gol Arab Saudi, Yasser Al-Mosailem menerusi sepakan lambung untuk gol pertama pasukannya.
Gol Salah itu merupakan jaringan keduanya untuk kempen Piala Dunia kali ini selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti ketika mereka tewas 1-3 berdepan Rusia bagi aksi kedua sebelum ini.
Dalam pada itu, penjaga gol Mesir, Essam El Hadary juga bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti yang diperoleh Arab Saudi melalui Fahad Al-Muwallad pada minit ke-41.
Bagaimanapun, penjaga gol berusia 45 tahun itu yang merupakan pemain tertua untuk kempen Piala Dunia kali ini gagal mempertahankan gawangnya daripada dibocori selepas Arab Saudi memperoleh sepakan penalti kedua pada minit ke-45 yang disempurnakan oleh Salman Al-Faraj.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Al-Dawsari muncul wira Arab Saudi apabila meledak gol kemenangan pada penghujung permainan dalam waktu kecederaan.
Kali terakhir Arab Saudi mencatat kemenangan pada saingan Piala Dunia adalah ketika menewaskan Belgium 1-0 pada kempen Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat. – Agensi











