KUALA LUMPUR – Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) menjangkakan untuk menukar baki 10 peratus aset konvensional yang bernilai kira-kira RM1 bilion kepada patuh syariah dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pada masa ini lebih 90 peratus daripada portfolio asetnya berstatus patuh syariah.
“Kami kini berada dalam fasa integrasi untuk menukar aset-aset konvensional tersebut secara berperingkat yang kebanyakannya terdiri daripada segmen gadai janji.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan untuk menawarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan patuh syariah termasuk platform perbankan internet,” katanya pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MBSB yang ke-48 di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tan Yow Sai.
Sebelum ini, MBSB pada 7 Februari lalu telah melengkapkan pengambilalihan Asian Finance Bank Bhd. (AFB), sekali gus menjadikan bank itu sebagai anak syarikat milik penuhnya.
Seterusnya, pada 2 April lalu, MBSB telah memindahkan aset dan liabiliti patuh syariahnya kepada AFB, yang telah dijenamakan semula sebagai MBSB Bank Bhd. (MBSB Bank), menjadikan ia sebagai bank Islam kedua terbesar di negara ini.
Ketika ditanya mengenai strategi bagi memacu pertumbuhan bank untuk tahun ini, Ahmad Zaini berkata, MBSB Bank akan melaksanakan pelan perniagaan tiga tahun yang merangkumi 22 inisiatif utama sehingga April 2019.
“Inisiatif-inisiatif ini akan dijalankan dalam tiga fasa utama yang memberi fokus kepada pengembangan perniagaan semasa, pengukuhan perniagaan serta penembusan segmen-segmen baharu.
“Ia termasuk penawaran untuk perusahaan kecil dan sederhana, komersial, pembiayaan perdagangan, pengurusan kekayaan serta pengukuhan platform perbankan digital,” ujarnya.
Selain itu, tambah beliau, MBSB Bank turut memperuntukkan pelaburan bernilai kira-kira RM250 juta, khusus bagi transformasi digitalnya untuk tempoh 15 hingga 24 bulan akan datang.











