KUALA LUMPUR 25 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan diminta tidak memulakan tradisi yang membuatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak lagi dihormati di negara ini.
![]() |
|
LIM SWEE TIN
|
Sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, pemimpin Pakatan Harapan seharusnya mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan kerajaan selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
“Bahasa rasmi Malaysia ialah bahasa Melayu, dalam konteks urusan rasmi kerajaan bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan.
“Jangan memulakan tradisi boleh guna bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan kerajaan, nanti keadaan akan melarat dan apabila melarat kita sukar kawal, hilang penyatuan bahasa maka akan bermula bibit perpecahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian tersebut selain bahasa Melayu dan Inggeris.
Menurut Swee Tin, hujah bahawa Perkara 152 turut tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menghalalkan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa penghantar dalam urusan rasmi kerajaan.
![]() |
|
TEO KOK SEONG
|
“Negara kita ada satu bahasa rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu walaupun kita galakkan rakyat cakap bahasa apa sahaja tetapi kita kena hormat dan letakkan bahasa Melayu di tempat yang tertinggi.
“Kita bukan seperti Singapura yang ada empat bahasa kebangsaan, langkah terbaik ialah kembali kepada teras, gunakan bahasa Melayu dalam segenap lapangan rasmi kerajaan kerana jika bukan pemerintah yang lakukan, siapa lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Mandarin itu hanya satu pembaziran dari segi tenaga dan masa.
“Sepatutnya tidak perlu banyak bahasa digunakan, sebagai warganegara wajib untuk rakyat Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan kebangsaan faham bahasa Melayu,” katanya.
Selain itu, katanya, setiap syarikat penerbitan akhbar atau syarikat-syarikat media perlu mempunyai pekerja yang mahir bercakap dan menggunakan bahasa Melayu untuk memudahkan urusan mereka.
“Tidak sepatutnya masalah mereka tidak mahir bahasa Melayu dijadikan satu masalah kepada kerajaan untuk membuat kenyataan akhbar dalam bahasa lain,” katanya.













