IPOH 25 Jun – Mana-mana calon yang bakal dipilih sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan Sabtu ini perlu dinilai dari segi kemampuan mentadbir, mengurus dan memimpin ahli-ahli dalam usaha membina semula parti agar ia menjadi lebih baik serta diyakini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bakal Presiden yang baharu juga mesti mendorong kesemua ahli parti untuk bekerja keras serta memperbetulkan kekurangan yang ada.
Menurut beliau, semua kualiti tersebut perlu diambil kira pada setiap calon yang bertanding justeru para perwakilan tidak seharusnya menilai mereka dari satu aspek semata-mata.
“Kita tidak boleh lihat dalam satu aspek semata-mata atau dalam konteks retorik semata-mata dengan hanya mungkin atas kemampuan mereka memberikan pandangan yang lain.
“Yang paling penting adalah bagaimana mereka ini dapat membawa tranformasi baharu kepada UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perjumpaan khas Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama kepemimpinan UMNO bahagian di Perak yang diadakan secara tertutup di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.
Ahmad Zahid akan bersaing dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mengisi jawatan Presiden parti.
Sebelum itu, Ahmad Zahid turut mengadakan taklimat dan perjumpaan secara tertutup selama lebih sejam dengan kepemimpinan UMNO negeri di lokasi sama.
Pada majlis sama, turut diadakan sesi memperkenalkan calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi UMNO antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Dalam pada itu, Zambry menyifatkan ketiga-tiga ketua sayap UMNO yang baru dipilih iaitu Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan mempunyai nilai kepemimpinan, kualiti, idealisme serta pengetahuan yang mantap bagi memimpin parti pada masa depan.
Beliau berkata, pemilihan mereka selaku barisan kepemimpinan baharu UMNO merupakan satu tranformasi yang amat baik untuk parti.
“Saya harap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaiknya dengan memahami keseluruhan kehendak rakyat dalam konteks suasana hari ini.
“Tidak lagi boleh bekerja dalam konteks keterasingan kerana UMNO memerlukan kepemimpinan bersifat responsif dan tidak meletakkan perjuangan UMNO untuk bermegah, bermewah-mewah serta hidup dalam suasana yang tidak mempedulikan rakyat,” katanya.











