DIBESARKAN dalam kejiranan yang sering berdepan masalah jenayah iaitu di Saravatov, Rusia telah mendorong ibu bapa Fyodor Smolov menghantar anak mereka menyertai akademi bola sepak Sokol Saratov.
![]() |
|
|
Malangnya, hati Fyodor berada di sebuah lagi kelab iaitu Lokomotiv Moscow yang terletak di ibu negara Rusia.
Impiannya untuk menyertai Lokomotiv Moscow tidak kesampaian kerana bapanya, Mikhail Smolov tidak mempunyai kewangan yang cukup sehingga menyebabkan dia terpaksa menyertai kelab yang tidak diminati.
Keputusan Mikhail memberi kesan buruk kepada perkembangan karier anaknya ketika remaja kerana dia terpaksa bertungkus-lumus menyesuaikan diri dengan kelab itu, malah pernah gagal ujian bola sepak pada usia 14 tahun.
Pada waktu itu, Mikhail mula merasakan anak remajanya itu terikat dengan jadual yang padat serta keletihan dan dia kemudian menggesa agar Fyodor mengambil ujian bola sepak buat kali terakhir bersama kelab lain.
Mikhail beranggapan anaknya akan berhenti bermain bola sepak jika gagal dalam ujian buat kali keempat, namun nasib menyebelahinya apabila Fyodor lulus untuk menyertai akademi bola sepak Master Saturn dari Yegoryevsk, Moscow.
Fyodor menamatkan karier remajanya di Saturn Moscow pada usia 16 tahun sebelum dia menandatangani perjanjian bersama Dinamo Moscow.
Kegagalan turut menimpa Fyodor dalam hubungannya bersama beberapa wanita.
Fyodor menamatkan zaman bujangnya pada 2013 bersama ratu cantik Rusia 2003, Victoria Lopyreva yang tujuh tahun lagi tua daripadanya.
Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak kekal apabila dua tahun kemudian pasangan itu berpisah dan berhenti berhubung antara satu sama lain pada Julai 2016.
Meskipun punca penceraian tidak diketahui, namun media melaporkan Fyodor mengadakan hubungan dengan model Rusia, Miranda Shelia.
Selepas mempamer aksi hambar dalam Kejohanan Eropah 2016, Fyodor kemudian berpisah dengan Shelia dan bercinta dengan Sofia Nikitchuk yang merupakan Ratu Cantik Rusia 2015.
Fyodor, 28, yang menikmati zaman bujangnya ketika ini pasti menjadi tumpuan wanita sepanjang Piala Dunia 2018 selepas dia berjaya membantu Rusia menampilkan aksi cemerlang setakat ini.
Bergandingan dengan Artem Dzyuba, dia berjaya membantu negaranya menjadi pasukan pertama layak ke peringkat kalah mati selepas membelasah Arab Saudi 5-0 dan Mesir 3-1.
Fyodor bagaimanapun masih belum meledak gol dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan A itu.












