RAWANG 25 Jun – Penduduk Bandar Baru Kundang, dekat sini mendakwa kawasan perumahan mereka berisiko berlaku banjir besar sekiranya pembinaan sebuah longkang monsun diteruskan oleh pemaju sebuah projek perumahan berhampiran.
Wakil Penduduk Wong Yat Wai berkata, pihak pemaju dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sepatutnya berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek tersebut dan bukannya membuat keputusan tanpa persetujuan daripada kedua-dua belah pihak.
Beliau berkata, lebih menghairankan apabila pembinaan longkang sepanjang kira-kira 400 meter itu perlu melalui kawasan perumahan mereka sedangkan pemaju mempunyai pilihan lain dengan menggunakan tanah kosong yang terletak bersebelahan.
“Sejak 10 tahun lalu perumahan di sini sememangnya sering dilanda banjir kilat namun kea-daannya semakin teruk sejak projek berkenaan dilaksanakan.
“Penduduk benar-benar kecewa dengan MPS yang sengaja memberi kelulusan kepada pemaju meneruskan projek tanpa memikirkan akibatnya,” katanya kepada pemberita di tapak projek berkenaan, di sini.
Tambah Yat Wai, setiap tahun penduduk terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM 1 juta ekoran banjir kilat.
“Penduduk tidak menghalang sebarang pembangunan, bagaimanapun biarkan projek dilaksanakan tidak memberi kesan negatif kami.
“Penduduk setempat yang tinggal di sekitar kawasan projek mahu meneruskan kehidupan dengan selesa dan mahu melakukan aktiviti harian tanpa ada sebarang kerisuan,” katanya.











