Ramai merisik calon Menteri Besar Johor - Utusan Malaysia

Ramai merisik calon Menteri Besar Johor

HASNI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat, sudah timbul desas-desus mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga membabitkan calon Menteri Besar dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah memulakan langkah merisik kerusi Menteri Besar Johor sekiranya PN memenangi PRU-15 termasuk mereka kini mempunyai calon tertentu untuk diketengahkan bagi jawatan tersebut.

Desas-desus mengatakan Datuk Mohd. Rashid Hasnon akan berpindah kerusi dari Parlimen Batu Pahat untuk bertanding salah satu kerusi DUN di Johor timur sekali gus menguatkan khabar angin mengatakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu bakal menjadi Menteri Besar Johor kesembilan.

Menurut sumber, Mohd. Rashid mempunyai kriteria terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar dan mempunyai perwatakan yang merendah diri dalam kalangan penduduk.

“Beliau pada mulanya tidak digemari penduduk Batu Pahat, namun atas perwatakan merendah diri serta mendengar keluh kesah masalah akar umbi menyebabkan Mohd. Rashid semakin diterima dalam kalangan penduduk.

“Lagi satu, beliau sering turun padang dan kawasan pada setiap hujung minggu,” katanya.

Kekosongan yang ditinggalkan Mohd. Rashid menguatkan lagi perkhabaran bahawa Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal berpindah kerusi Parlimen dari Gombak ke Batu Pahat.

Sekiranya itu terjadi, bagaimana kedudukan UMNO selaku parti paling lama di samping masih mempunyai pengaruh di negeri ini malah mempunyai barisan pemimpin yang berpengalaman dan berkaliber? Antaranya, penyandang Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan dalam kalangan pemimpin Pemuda UMNO.

Malah terdapat cakap-cakap mengatakan Hasni akan berpindah dari negeri ke Pusat iaitu daripada DUN Benut ke Parlimen bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang dikatakan tidak bertanding dalam PRU-15.

DUN Johor juga masih mempunyai tiga bekas Menteri Besar yang masih bergelar ADUN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal. Sekiranya ditolak nama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, bagaimana dengan kedudukan Osman dan Dr. Sahruddin.

Osman dikatakan tidak berminat untuk bertanding dalam PRU-15 namun beliau pernah menyatakan minat untuk kerusi Parlimen pula. Hanya Dr. Sahruddin yang masih berteki-teka terhadap masa depan politiknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN