Pembawa talasemia tertinggi di Perlis - Utusan Malaysia

Pembawa talasemia tertinggi di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 25 Jun – Perlis merekodkan pembawa talasemia tertinggi hasil daripada ujian saringan penyakit itu yang dijalankan terhadap kira-kira 3,000 daripada 4,000 pelajar tingkatan empat di seluruh negeri ini pada tahun lalu.

Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr. Othman Warijo berkata, jumlah pelajar yang menjadi pembawa talasemia itu melibatkan hampir 30 peratus daripada yang disaring.

Menurut beliau, ujian saringan itu yang diadakan sejak 2016, bertujuan bagi mengesan pelajar yang menjadi pembawa penyakit berkenaan seterusnya mengelak mereka berkahwin dengan pasangan yang juga pembawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika ini dapat dilakukan (mengelak perkahwinan sesama pembawa talasemia), kita dapat mengelak satu daripada empat anak yang dilahirkan ini sebagai pengidap talasemia manakala dua lagi pembawanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Talasemia dan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat HTF di sini hari ini.

Yang turut hadir Pakar Perunding Kanan Pediatrik HTF, Dr. Abdul Nasir Mohamed Abd. Kadher.

Menurut Othman, sehingga kini HTF membelanjakan sebanyak RM1.7 juta setahun untuk perbelanjaan seramai 91 orang pesakit talasemia.

Dalam pada itu, penderma darah tertinggi di HTF iaitu sebanyak 84 kali, Lim Lai Wat, 57, berkata, dia berbangga kerana dapat menyumbang dan membantu orang yang memerlukan.

Katanya yang memiliki darah jenis O iaitu boleh diterima untuk semua jenis darah, dia menderma darah sejak 1984 menerusi satu kempen yang dianjurkan sebuah pertubuhan.

“Sejak daripada itu, saya terus menderma darah antara sekali sehingga empat kali setahun. Kebaikan menderma darah, saya rasa susah hendak mendapat demam apatah lagi penyakit,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini