BACHOK – Seorang pemuda berusia 22 tahun ditahan bersama 510 pil kuda yang disembunyikan dalam kasut kanak-kanak di rumah keluarganya di Kampung Chengal Tawang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Ali berkata, satu serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada pukul 3 pagi selepas menerima maklumat awam dan risikan susulan.
Menurutnya, pada awal pemeriksaan polis gagal menemui barang kes namun akhirnya tiga bungkusan plastik kecil yang mengandungi pil berwarna merah dan hijau ditemui dalam kasut kanak-kanak di dalam rumah berkenaan.
“Pemuda berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki satu rekod lampau kes dadah turut positif dadah Methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan.
“Suspek yang tidak mengakui dadah berkenaan miliknya ditahan reman sehingga 28 Jun ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nik Aminuddin berkata, pada hari yang sama sepasukan anggota polis narkotik Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) berjaya menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun bersama satu botol kecil serbuk putih dipercayai heroin.
Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam, seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu ditahan di tepi jalan Kampung Mahligai di sini.
“Dalam pemeriksaan polis menemui sebotol kecil dipercayai mengandungi heroin dalam beg pinggangnya. Suspek turut positif dadah heroin dan ditahan reman sehingga esok.
“Hasil siasatan lanjut suspek dikesan memiliki enam rekod yang melibatkan kes dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah kecil-kecilan sambil mendapatkan bekalan untuk melepaskan ketagihan mereka. – K! ONLINE











