KUALA LUMPUR 25 Jun – Bekas Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak dan bekas pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan subahat melibatkan peruntukan kumpulan
perbelanjaan pemasaran bank itu hampir RM15 juta, dua tahun lalu.
Hakim Madihah Hairullah memutuskan demikian terhadap kedua-dua tertuduh selepas pihak pendakwaan memberitahu bahawa representasi yang dihantar pihak pembelaan ke Jabatan Peguam Negara pada 1 Jun lalu telah diterima.
Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.
Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama bagi kes tersebut.
Pada 7 September 2016, Mustafha, 50, didakwa melakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 pada 11 Mac 2016 di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Travers di sini.
Pengerusi bank tersebut, Abdul Aziz, 67, yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16 didakwa bersubahat dengan Mustafha untuk melakukan perbuatan tersebut pada tarikh dan tempat sama.
Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda sementara Abdul Aziz menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 109 akta sama dibaca dengan Seksyen 409 akta tersebut yang membawa hukuman serupa. – UTUSAN ONLINE.











