KAJANG – Seorang bayi lelaki masih bertali pusat dan dalam keadaan bogel dijumpai di belakang sebuah restoran di rumah kedai di Pusat Hentian Kajang dekat sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, bayi tersebut ditemui pemilik restoran pada pukul 5 petang selepas dia terdengar bunyi objek jatuh dari tempat tinggi.
“Pemeriksaan di belakang restoran miliknya menjumpai seorang bayi lelaki dalam keadaan bogel tetapi masih bernyawa di atas tanah berdekatan besi-besi pembinaan,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, bayi berkenaan terus dihantar ke sebuah klinik berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital Kajang.
“Bayi itu masih dirawat di Wad Rawatan Rapi dan keadaan masih kritikal,” jelas beliau.
Mohd. Sabri memberitahu, polis yang menyiasat kejadian itu telah menahan seorang wanita warga asing pada pukul 11.30 malam semalam di Hospital Kajang.
“Wanita itu ditahan untuk membantu siasatan mengenai penemuan bayi di belakang restoran,” kata beliau.
Sementara itu, satu sumber berkata, semasa ditemui bayi itu mempunyai kesan kecederaan di kepala dipercayai selepas dibuang dari rumah kedai yang terletak di atas restoran tersebut.
Sumber itu memberitahu, orang ramai dan pelanggan restoran terkejut dengan penemuan bayi berkenaan sehingga satu klip video berhubung kejadian itu viral di laman sosial.
Klip video berdurasi 4 minit menunjukkan seorang lelaki mendukung seorang bayi dalam keadaan cemas. Lelaki itu kemudian membawa bayi yang tidak berbaju itu menaiki van dipercayai untuk dihantar ke sebuah klinik. Semasa memasuki van, bayi yang kelihatan lemah itu ditutup dengan kain sebelum dia dibawa memasuki van.
Penemuan bayi itu menarik perhatian orang ramai yang berkumpul di kawasan tersebut untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai bayi malang itu. – K! ONLINE











