PULAU PINANG 25 Jun – Seramai tujuh pekerja kilang cedera selepas bas yang dinaiki mereka untuk ke tempat kerja terbabit dalam kemalangan di Tingkat Paya Terubong, Ayer Itam, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, bas berkenaan yang membawa 38 pekerja kilang dilaporkan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.
Bas berkenaan dipercayai membawa pekerja kilang menuju ke Zon Perindustrian Bayan Lepas di sini.
Menurut jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, kesemua mangsa yang terdiri dari enam wanita dan seorang lelaki hanya mengalami kecederaan ringan dan dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja mencuci sisa tumpahan minyak dilakukan oleh anggota bomba dan penyelamat sehingga selesai operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 7.30 pagi tadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











