GOMBAK – Kehilangan seorang pemandu Grab sejak Khamis lalu terjawab selepas pemuda itu ditemui mati dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan kawasan perumahan Taman Selayang Baru di sini kelmarin.
Mangsa Aiman Nosri, 27, ditemui pada pukul 8.20 malam dalam keadaan terlangkup di tempat duduk penumpang belakang dalam kereta jenis Perodua Myvi.
Kosmo! difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya di Kasturi Height, Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 2 petang untuk menghantar pelanggan.
Sebelum hilang, mangsa dikatakan menghantar satu pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada ibunya yang berusia 52 tahun bagi memaklumkan dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang dan dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam bagi menghantar pelanggan.
Selepas pesanan tersebut, ibu mangsa gagal menghubungi Aiman bermula pukul 5 petang pada hari sama sebelum keluarga itu membuat laporan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kelmarin.











