DALAM jangkaan, sememangnya pasukan England menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan menentang Panama apabila tanpa belas kasihan membelasah negara Amerika Tengah itu 6-1 pada aksi kedua Kumpulan G Piala Dunia 2018 di Stadium Nizhny Novgorod semalam.
Kemenangan tersebut mengesahkan skuad The Three Lions yang menduduki ranking ke-12 dunia untuk melangkah ke pusingan kalah mati dan mereka akan bersaing dengan Belgium bagi penentuan juara serta naib juara Kumpulan G di Stadium Kaliningrad pada 29 Jun ini.
Terdahulu, kapten England, Harry Kane berjaya meraih hatrik menerusi dua sepakan penalti serta satu gol yang terhasil ekoran tendangan Ruben Loftus-Cheek terkena kakinya sebelum menerjah ke gawang Panama manakala dua gol lagi dijaringkan menerusi John Stones dan satu gol oleh Jesse Lingard.
Jaringan hatrik tersebut menjadikan Kane sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2018 dengan lima gol setakat ini.
Meskipun kena belasah, rakyat Panama dan pasukan di ranking ke-55 dunia itu masih tetap bersorak gembira apabila pemain pertahanannya yang berusia 37 tahun, Felipe Baloy berjaya meledak gol sulung negara tersebut di pentas Piala Dunia pada minit ke-78.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan Panama dan Tunisia, yang turut dibelasah Belgium dengan jaringan 5-2 kelmarin, tersingkir daripada saingan Piala Dunia dan kedua-dua negara itu akan melengkapkan perlawanan Kumpulan G di Arena Mordovia, serentak dengan aksi England dan Belgium pada 29 Jun ini.










