KUALA LUMPUR 24 Jun – Kenderaan utiliti sukan (SUV), Ford Everest menjanjikan ketahanan, kualiti serta pemanduan yang mantap dalam apa jua bentuk muka bumi.
Ford Motor Company dalam kenyataannya berkata, sebaik sahaja memulakan perjalanan pemandu dan penumpang seolah-olah terpisah dari dunia luar menerusi teknologi penghapusan bunyi dan penggunaan bahan yang menyerap bunyi.
Tambah syarikat itu, penggunaan Sistem Pengurusan Muka Bumi pada Everest mengubah suai talaan off road apabila mula memasuki jalan yang semakin mencabar.
“Sistem ini mempunyai empat talaan iaitu biasa, salji, kerikil atau rumput, pasir dan batu sekali gus memberikannya keupayaan untuk meneroka pelbagai permukaan jalan.
“Selain itu, Everest menyediakan ruang kargo yang luas dengan kapasiti sebesar 2,010 liter yang mana mampu memuatkan pelbagai kelengkapan pengembaraan pada satu-satu masa,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, Everest mampu untuk mengharungi air setinggi 800 milimeter (mm) dan jarak kelegaan tanah mencecah 225mm.
Katanya, ciri-ciri lasak dan prestasi tinggi pada Everest menjadikannya sesuai dibawa ke kawasan yang sukar untuk dilalui oleh kenderaan yang sama kelas dengannya seperti hutan sub tropika dan pergunungan.
“Pertimbangkan Ford Everest apabila mahu mencari jentera yang boleh digunakan untuk kegunaan harian atau aktiviti lasak pada hujung minggu.
“Kenderaan ini pasti memberikan kebebasan ke mana sahaja dan kemampuan untuk meninggalkan apa jua persekitaran yang terdapat di bandar seperti kesesakan trafik, pencemaran bunyi dan udara,” ujarnya.











