JANGAN BERNOSTALGIA LAGI - AHMAD ZAHID - Utusan Malaysia

JANGAN BERNOSTALGIA LAGI – AHMAD ZAHID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berikut adalah wawancara bersama calon Presiden UMNO, DATUK SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden yang disiarkan di Astro Awani, Jumaat lalu.

Apakah sebenarnya yang terjadi pada sejarah perjuangan UMNO, sampai ke titik yang tidak pernah dialami UMNO, iaitu tidak lagi memegang tampuk kuasa, hilang sokongan majoriti rakyat yang mengundi, dan kini pertama kali duduk sebagai pembangkang dan cuma ada beberapa negeri yang tinggal?

Ahmad Zahid: Terima kasih kerana Astro Awani masih ada keberanian untuk menjemput dulu, berada dalam kerajaan, kini sebagai orang yang melaksanakan tugas-tugas kepembangkangan untuk muncul secara langsung di Astro Awani ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya harus mengakui bahawa peristiwa 9 Mei lalu adalah satu pukulan terhebat dalam sejarah politik tanah air.

Biarpun tiga kali terdahulu kita memenangi pilihan raya di pe­ringkat nasional, walaupun kita pernah kecundang disebabkan tidak memperoleh suara lebih dua pertiga majoriti, namun kita masih membentuk kerajaan.

Realiti yang harus kita hadapi, kita harus mengakui kecunda­ngan itu. Dan kita juga harus me­ngakui dan mengiktiraf kerajaan sedia ada.

Kita juga harus memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan dalam tempoh 100 hari ini, adakah akujanji yang telah dibaling kepada rakyat, dalam manifesto dapat dilaksanakan atau tidak? Hatta, jika 100 hari pun tidak dapat dilaksanakan atau boleh dilaksanakan, kami adalah pemantau yang akan melihat prestasi mereka.

Malah harus diakui apabila orang Melayu tidak lagi bersatu padu di dalam satu fikrah, satu minda, wihdatul fikr, maka harga yang terpaksa dibayar terlalu mahal. Dan kita dipetak-petakkan di dalam petak dan warna politik yang berbeza.

Pada waktu sama harus juga diakui realitinya, bahawa kita mempunyai 54 kerusi di parlimen. Biarpun kita tidak dapat membentuk kerajaan, biarpun kita ada 79 kerusi semuanya atas nama Barisan Nasional, dan satu telah terpacul keluar, kini tinggal 78, dan 19 rakan-rakan kita di Sarawak telah mengambil keputusan untuk berada di luar ge­langgang UMNO, namun realiti yang kita harus akui adalah bahawa kita sebenarnya sekarang berada di luar gelanggang peme­rintahan dan kekuasaan.

Ini harus diakui. Oleh yang demikian, muhasabah, self critism, pembedahan terhadap kesilapan mungkin pendekatan non convensional dalam kalangan seteru politik kita telah berjaya membaluti rasa kepercayaan yang dikurangkan oleh mereka, menyebabkan harga yang terpaksa kita terima adalah kecundangan.

Datuk Seri, dulu Datuk Seri tidak memegang tampuk ter­tinggi. Harga yang dibayar di atas sebarang kekalahan ini bukan sahaja politik, tekanan akan diberikan kepada pemimpinnya. Dan kos pertama yang dibayar, Datuk Seri Najib mengundur diri. Kini di bahu Datuk Seri untuk menjalankan tugas itu. Adakah bedah siasat itu juga melihat kepada faktor di mana, apakah perubahan dan persepsi perubahan yang rakyat mahu dan tuntut pada UMNO untuk melakukan muhasabah?

Ya, saya menerima tanggungjawab ini sebagai satu amanah dan bukan sebagai satu ghanimah.

Amanah satu tanggungjawab se­penuhnya untuk memegang ke­pemimpinan UMNO.

Ghanimah ertinya kita tidak lagi berada di dalam gelanggang kekuasaan. Yang mana jika kita berada di dalam gelanggang kekuasaan, maka kita dapat ba­nyak dokongan daripada pelbagai pihak termasuk daripada sistem kerajaan yang ada.

Hakikat yang harus kita terima di hadapan kita bahawa undi popular kita adalah sekitar 46 peratus. Ertinya, perbezaan dari Pilihan Raya Umum Ke-13, kita ada kenaikan dan ada peningkatan. Ertinya, orang Melayu pada keseluruhannya masih mendambakan UMNO dan BN.

Tetapi mungkin pendekatan yang dilakukan secara non convensional oleh seteru politik kita, telah memberikan keberhasilan yang banyak kepada mereka.

Terutamanya apabila mereka membuat keputusan hanya untuk menggunakan satu lambang dan ini telah dikompromi termasuk sebuah parti menggunakan lambang menuju ke bulannya, tetapi sanggup untuk menggunakan lambang sebuah parti yang pada peringkat awalnya sukar untuk diterima oleh akar umbi mereka.

Tapi hasilnya telah memberikan keberuntungan kepada mereka.

Dan pada waktu sama sebagai orang yang diberikan tugas pemangkuan tanggungjawab sebagai Presiden UMNO, saya harus menggarap semua dokongan daripada peringkat akar umbi, di peringkat cawangan, bahagian, perhubu­ngan negeri dan peringkat nasio­nal untuk bersama-sama dengan saya.

Dan garapan ini cukup penting kerana mustahil seorang pe­mimpin itu boleh berdiri sendiri. Sekuat mana pun perwatakan­nya, pasti ada formula kepengikutan yang harus dibawa bersama. Dan inilah yang saya pegang untuk memberikan roh baharu kepada UMNO untuk menghidupkan semula parti ini.

Walau sebelum PRU-14 pun, perhimpunan Agung UMNO itu dikongsi bukan hanya dengan ahli, tetapi seluruh rakyat Malaysia apabila disiarkan dalam media. Jadi pemilihan kali ini, yang akan berlangsung pada hujung bulan ini juga sama, rakyat juga mahu terbabit, mereka juga membi­carakannya di mana jua mereka berada?

Dalam konteks itu, dalam media sosial dan sebagainya, ada yang mengatakan bahawa bukan salah parti UMNO. Piagam dan tubuh­nya itu benar, landasannya itu benar, tetapi mungkin ada kepimpinannya yang tidak lagi mengikuti apa yang kami harapkan itu.

Jadi sejauh mana Datuk Seri melihat hujah yang mengatakan bahawa pembersihan itu perlu membabitkan pembersihan kepada kepimpinan yang turut terbabit mendapatkan keputusan PRU-14 itu, atau Datuk Seri lebih melihat apa yang Datuk Seri katakan tadi, itu sebenarnya adalah lebih kepada strategi pihak pembangkang dahulu, yang menyebabkan rakyat berfikiran begitu dan bukannya faktor parti atau kepimpinan parti?

Saya amat bersetuju dengan soal piagam, ertinya perlembagaan dan peraturan yang ada di dalam UMNO itu telah merangkumi beberapa aspek. Biarpun parti UMNO itu berdasarkan perjuangannya berdasarkan kepada Islam, Kemelayuan dan rumpun bangsa Melayu, namun agama-agama lain dan bangsa lain tidak pernah ditinggalkan di dalam kerangka agenda nasional keseluruhannya.

Soal yang timbul apabila, saya menyebut dua kali sebelum ini bahawa pendekatan non convensional digunakan oleh seteru politik dan memfokuskan kepada center of gravity iaitu personaliti seseorang yang terus diterjah dengan pelbagai isu. Ini telah mantap di minda.

Pendapat umum, the court of public opinion, telah membuat hukuman lebih awal sebelum 9 Mei itu. Maka, terjahan inilah yang menyebabkan berlaku kegoyangan.

Walaupun kita tahu bahawa 60 peratus kerusi yang dipertandingkan itu di kawasan luar bandar, tetapi 60 peratus pengundi itu datang daripada, sama ada dari kawasan pinggir bandar atau kawasan bandar yang pulang desa untuk mengundi.

Ertinya, mereka membawa minda yang lebih terbuka yang mana maklumat tidak lagi diperoleh melalui bahan pembacaan tapi hanya diperoleh melalui hujung jari. Dan ini, yang dikatakan non convensional approach, atau pendekatan non convensional yang digunakan.

Perkara kedua, kita harus lihat bahawa soal pembersihan yang harus dilakukan, itu selepas mandat diberikan kepada saya , insya-Allah. Dan saya berjanji, jika saya diberikan mandat saya tidak akan pernah mengetepikan mana-mana calon Presiden yang dua orang lagi, untuk saya bawa bersama-sama saya.

Kerana keterangkuman pemikiran, pengalaman dan idea yang dibawa oleh kedua mereka ini harus digunakan untuk membangkitkan semula roh UMNO itu sendiri.

Dan bukan sekadar itu, saya harap rakan-rakan saya yang menjadi Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Pergerakan dan majlis tertinggi adalah suatu kumpulan pe­mimpin yang telah diputuskan atau akan diputuskan pada 30 Jun kelak, yang harus bersama de­ngan saya untuk menggarap seluruh kekuatan, minda dan segala tenaga bukan hanya menjenamakan UMNO dan sebuah entiti komposisi sebuah parti yang lebih besar yang menggabungkan parti-parti yang lain, tetapi lebih penting ialah pengisiannya kepada penjenamaan itu.

Bukan itu sahaja, kira harus juga melihat bagaimana pendekatannya. Sebab pendekatan dahulu adalah pendekatan yang berorientasikan pembangunan dan khidmat kepada pengundi dan rakyat. Tetapi seteru politik menggunakan orientasi isu.

Dan center of gravity sekali lagi difokuskan pada seseorang. Di dalam hal inilah, maka kita harus melakukan apa yang dipanggil sebagai pembedahan diri.

Ya, hakikatnya kita harus me­nuju ke hadapan. Kita tidak perlu bernostalgia, menoleh ke belakang, ke kiri ke kanan, merasa sedih. Itu telah berlalu. Dan saya mengharapkan dalam keadaan yang beginilah bahawa apa yang harus dilakukan oleh kepimpinan baru UMNO yang akan terbentuk dalam kalangan sayap dan pada 30 Jun ini, terdiri daripada mereka yang boleh bersama-sama dengan saya insya-Allah untuk meletakkan UMNO semula di persada utama politik.

Dan itulah harapan saya, insya-Allah.

UMNO kini perlu diurus tadbir sebagai kuasa pembangkang kecuali di Pahang dan Perlis. Bagaimana ini dan strateginya, kerana Datuk Seri jika terpilih sebagai presiden UMNO, perlu bersaing dengan bekas-bekas pemimpin UMNO juga, seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan sekiranya beliau menyerahkan tampuk kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka cukup mengenali UMNO. Mereka pernah berada di dalam. Tetapi mereka mengenali UMNO yang memerintah. Kini Datuk Zahid pertama kali akan mencorakkan UMNO sebagai kuasa pembangkang. Apakah strategi untuk mengatasi strategi pakatan harapan dalam konteks itu?

Saya sebutkan bahawa kita harus menukar DNA kita. Daripada DNA berkerajaan, kepada DNA kepembangkangan. Ini bukan sesuatu yang mudah.

Set minda, roh, pendekatan dan juga aktiviti yang dijalankan. Mungkin kita sering berada di dalam zon yang amat selesa. Biarpun kini kita hanya ada Pahang dan Perlis, namun hakikatnya kita tinggal dua.

Dan pada keseluruhannya, DNA pembangkang ini harus ditanam dari sekarang, Itu sebabnya kita harus jadi pemantau kepada bekas-bekas pemimpin UMNO yang kini telah berada di luar gelanggang UMNO dan menjadi kerajaan dan mereka belajar dan mengetahui bagaimana bentuk pemikiran kita.

Tapi jangan pernah diperkecilkan. Insya-Allah apabila transformasi perubahan dilakukan de­ngan kepimpinan baharu UMNO ini, maka set mindanya berubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini