Pemuda lumpuh rayu bantuan orang ramai - Utusan Malaysia

Pemuda lumpuh rayu bantuan orang ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 24 Jun – Kemiskinan hidup mendesak keluarga seorang pemuda di Kampung Lepan Rambai, dekat sini yang terlantar sakit sejak lapan bulan lalu mera­yu bantuan pelbagai pihak bagi meringankan beban mereka.

Bekas pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Jeram, Mohamad Noorrokman Hakim, 22, yang hanya sempat belajar sehingga tingkatan tiga sahaja kerana menghidap penyakit saraf.

Menurut bapanya, Mohd. Din Jusoh, 49, penyakit itu menyebabkan anak keempat dari lapan beradik itu pernah koma dan kini lumpuh serta tidak boleh bercakap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anak saya pernah dirawat di Hospital Tengku Anis (HTA) tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan.

“Kami perlu menyuapkan makanan, dia makan tetapi dia se­perti tidak tahu apa yang dia buat, kadang-kadang kita suap pun dia tak nak, agak sukar untuk urus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lepan Rambai dekat sini, baru-baru ini.

Mohd. Din berkata, mereka terpaksa mengusung Noorrokman Hakim ke bilik mandi bagi pengurusan diri setiap hari.

“Kalau ada dermawan ingin menghulurkan bantuan katil yang boleh digerak dengan roda, amat kami alu-alukan. Malah kami kini terputus lampin pakai buang,” katanya.

Mohd. Din berkata, dia dan isterinya, Rokiah Dollah, 53, hanya menoreh getah secara pawah dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Saya nak kerja berat tak boleh, saya ada sakit jantung, banyak masalah kita ni, anak ramai yang masih belajar.

“Seorang anak saya sudah berumah tangga; tiga masih bersekolah; seorang belajar di Akademi Perikanan Cendering; seorang bekerja sebagai Pasukan Polis Bantuan dan dua masih menuntut di universiti,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga Mohd Din ini boleh meng­hubungi anaknya, Siti Norzalina di talian 0111-7958292.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini