SHAH ALAM 24 Jun – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia disiasat sekiranya terdapat laporan dan bukti kukuh yang beliau mengumpul kekayaan lebih RM300 juta dalam pelbagai akaun di luar negara sepanjang memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai berniat jahat dan cubaan untuk mencemarkan reputasinya, Mohamed Azmin berkata, pihak yang membuat tuduhan itu perlu tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar beliau memiliki kekayaan sebegitu.
“Saya dari dulu (sedia disiasat) dan tuduhan ini bukannya baharu.
“Perkara ini tidak patut berlaku dalam suasana hari ini dan sekiranya mana-mana individu dan pihak mempunyai bukti kukuh harus tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah laman blog yang mendakwa Mohamed Azmin memiliki 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapore, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai, Abu Dhabi, Australia, Zurich dan Amerika Syarikat selain isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin turut memiliki 47 akaun. – UTUSAN ONLINE











