Daun kelor atau nama saintifiknya Moringa oleifera yang merupakan tumbuhan popular dalam pelbagai penerbitan ilmiah mampu merawat masalah kekurangan nutrien masyarakat kerana bersifat anti-oksidan dan kaya dengan pelbagai nutrisi.
SEKITAR pertengahan tahun lalu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan bahawa sebanyak 99.7 peratus kanak-kanak di Malaysia yang tinggal di kawasan rumah kos rendah didapati kurang nutrien.
Menerusi laporan bertajuk Children Without: A study of urban child poverty and deprivation in low-cost flats in Kuala Lumpur, ketua penyelidiknya, Muhammad Abdul Khalid berkata, keadaan melibatkan kanak-kanak itu dipercayai berlaku ekoran kurangnya makanan berkhasiat dan ketidakmampuan keluarga.
Pendedahan yang dibuat oleh UNICEF itu secara tidak langsung membuka mata orang ramai mengenai tahap kekurangan nutrien kanak-kanak di negara ini.
Atas permasalahan itu juga, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Yus Aniza Yusof tampil menghasilkan formulasi suplemen daripada tumbuhan Moringa oleifera iaitu sejenis daun yang disifatkan sebagai makanan ‘super’ dan boleh membantu masalah kekurangan nutrien dalam kalangan penduduk dunia.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual pensyarah yang merupakan pakar bidang kejuruteraan bahan makanan serta teknologi serbuk makanan di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ir. Dr. Yus Aniza Yusof di pejabatnya baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Tahniah atas kejayaan Dr. dan sekumpulan penyelidik dalam menghasilkan suplemen tinggi nutrien berasaskan tumbuhan Moringa oleifera. Boleh Dr. ceritakan serba ringkas mengenai produk tersebut?
YUS ANIZA: Produk suplemen tambahan makanan ini dinamakan sebagai Chewable Moringa Fruity Tablets. Ia diperbuat daripada serbuk daun kelor atau nama saintifiknya Moringa oleifera. Tumbuhan ini popular dalam pelbagai penerbitan ilmiah kerana mengandungi nutrien yang tinggi dan bersifat anti-oksidan sehingga menjadikan daun ini dikenali sebagai makanan ‘super’.
Lebih menarik apabila daun ini juga kaya dengan gabungan nutrien, asid amino, antioksidadan, anti-kanser yang diperlukan dalam pemakanan serta penyembuhan.
Di Malaysia, daun dan buah Moringa oleifera kebiasaannya digunakan dalam masakan kari, masak lemak putih dan hidangan tempatan. Malah, tumbuhan ini digunakan secara meluas dalam masakan-masakan yang dimasak oleh masyarakat India.
Bagaimanapun, disebabkan rasa daun ini yang sedikit pahit, ia jarang dimakan secara mentah atau dijadikan seperti ulam-ulaman lain. Disebabkan itu, kami mengambil inisiatif untuk mencipta suplemen yang kaya dengan kebaikan nutrien dalam daun tersebut dengan memproses daun kepada serbuk daun Moringa oleifera dan seterusnya membentuk tablet boleh kunyah. Malah, bagi mengurangkan rasa pahit daun tersebut, campuran sedikit rasa buah tempatan turut dimasukkan sebagai agen pelindung rasa.
Boleh Dr. terangkan dari mana idea untuk menghasilkan produk ini tercetus?
Idea asal untuk membuat kajian menggunakan daun Moringa oleifera tercetus daripada ibu saya selepas melihat daun yang berkhasiat ini sering digunakan untuk masakan tradisi keluarga.
Bagaimanapun, idea menghasilkan Chewable Moringa Fruity Tablet terhasil apabila salah seorang bekas pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Muhammad Azhar Ali mendapati ramai individu mengalami masalah kekurangan nutrisi.
Masalah kekurangan nutrisi ini menjadi kritikal di kawasan-kawasan pedalaman dan zon krisis seperti banjir, perang dan kemarau yang tidak mempunyai akses makanan tinggi nutrien yang mencukupi.
Pada tahun 2013, seorang penyelidik Rockwood dan rakan-rakan telah menerbitkan satu artikel dalam International Journal of Phythoteraphy Research.
Beliau mendedahkan khasiat Moringa oleifera yang mempunyai 25 kali ganda zat besi berbanding bayam, 17 kali ganda kalsium berbanding susu, 15 kali ganda potasium daripada pisang, 10 kali ganda Vitamin A daripada lobak merah, 9 kali ganda protein berbanding dadih dan 7 kali ganda Vitamin C daripada buah oren.
Penemuan tersebut telah memberi motivasi kepada kami untuk membuat kajian dan seterusnya menghasilkan suplemen berasaskan Moringa oleifera sebagai bekalan nutrien tambahan kepada umum.
Selepas melalui beberapa siri ujian makmal selama tiga tahun, kami berjaya membuktikan suplemen ini sesuai digunakan untuk semua lapisan umur baik dari kanak-kanak sehingga dewasa.
Dewasa ini kita lihat lambakan suplemen dijual di pasaran. Boleh Dr. terangkan serba ringkas apakah keistimewaan dan perbezaan yang ditawarkan dalam suplemen ini berbanding suplemen-suplemen sedia ada yang lain?
Untuk pengetahuan umum, sejak tahun 1998, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mempromosikan Moringa oleifera sebagai alternatif kepada bekalan makanan yang diimport untuk merawat kekurangan nutrien dalam kalangan individu. Daun ini juga telah digunakan dalam perubatan tradisional selama berabad-abad dalam pelbagai budaya di seluruh dunia.
Di pasaran pula, produk-produk berasaskan Moringa oleifera yang dijual pula dipek dalam bentuk serbuk dan cecair yang mana ia agak sukar untuk ditelan kerana rasa asalnya yang pahit.
Justeru, kami tampil dengan suplemen Chewable Moringa dalam bentuk tablet dan mempunyai sifat yang mudah larut dalam mulut selain penyerapan nutrien pada tubuh.
Bukan itu sahaja, produk ini mudah dikunyah begitu sahaja tanpa memerlukan air. Bagi memastikan kewujudan nutrisi dalam tablet berkenaan, ujian kandungan nutrisi, vitamin, mineral dan asid amino telah dijalankan di makmal.
Tahap nutrisi serta kadar pengambilan tablet ini telah dicadangkan berdasarkan rujukan Food and Drug Administration of United States berkenaan cadangan pengambilan harian makanan, Recommended Daily Allowance (RDA).
Selain itu, teknik penghasilan Chewable Moringa Fruity Tablets adalah memenuhi tahap piawaian bagi orally disintegrating tablet yang diteapkan oleh International Pharmacopeia iaitu tablet mempunyai sifat keboleh pecahan kurang dari 1 peratus berat tablet dan melarut dalam tempoh kurang 1 minit.
Adakah Chewable Moringa Fruity Tablets ini meninggalkan kesan sampingan kepada individu?
Setakat ini, ujian awal terhadap kesan toksik serbuk daun Moringa oleifera telah dijalankan ke atas arnab dan analisis terhadap sel ginjal serta hati menunjukkan tiada kesan toksik.
Kajian toksik ini telah dilakukan dengan kerjasama Institute of Pharmacy, Physiology and Pharmacology, University of Agriculture Faisalabad, Pakistan. Hasilnya yang diperolehi, tiada kesan toksik ditemui semasa ujian tersebut dijalankan. Ia jelas menunjukkan suplemen ini selamat digunakan pada manusia.
Apakah saranan Dr. kepada para pengusaha yang ingin menghasilkan produk suplemen atau makanan tambahan?
Saya ingin mencadangkan agar mereka menjalin kerjasama dengan universiti atau institut penyelidikan supaya produk yang dihasilkan adalah saintifik serta memenuhi kualiti piawaian produk. Kajian di universiti mengambil kira dari sumber seperti tumbuhan dan bahan biologi itu dituai dan seterusnya diproses. Di samping itu, pelbagai kaedah pemprosesan dapat diguna pakai seperti pengeringan, pengisaran, pengayakan, pencampuran dan sebagainya.
Apakah cadangan Dr. kepada pelajar lepasan Ijazah sekiranya mereka berminat untuk mendalami bidang ini?
Mereka boleh berhubung dengan kami di Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM. Kami merupakan satu-satunya jabatan yang menawarkan program kejuruteraan makanan di negara ini dan mempunyai pelbagai bidang pengajian. Antaranya ialah kejuruteraan makanan, kejuruteraan proses pertanian, kejuruteraan bioproses dan kejuruteraan pembungkusan.
Pengetahuan dalam bidang ini penting bagi pembangunan produk makanan, minuman dan suplemen bagi mereka bentuk serta menaik skala sesuatu proses bagi diaplikasikan oleh industri.
Boleh Dr. kongsikan nasihat terhadap orang ramai mengenai pengambilan Moringa oleifera?
Selain pengambilan suplemen, orang ramai juga digalakkan mengamalkan tumbuhan Moringa oleifera sebagai salah satu sayuran dalam makanan harian. Agak menyedihkan apabila difikirkan bahawa pengambilan sayur kelor ini kini semakin dilupakan dan ini adalah amat merugikan kerana kandungan nutrien yang terdapat dalam daun adalah tinggi.











