Kulasegaran tidak selesaikan isu sebenar - Utusan Malaysia

Kulasegaran tidak selesaikan isu sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sememangnya destinasi kegemaran warga asing untuk mencari rezeki. Berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 1.78 juta pekerja asing bekerja secara sah di Malaysia. Paling dominan ialah Indonesia dengan 728,870 orang disusuli Nepal (405,898), Bangladesh (221,089), Myanmar (127,705), India (114,455), Pakistan (59,281) dan Vietnam (29,039).

Selain itu, terdapat pekerja berasal dari China (15,399), Thailand (12,603), Sri Lanka (5,964), Kemboja (5,103) dan Laos (39). Mereka antaranya bekerja dalam sektor pembuatan, pertanian, pembinaan, perkhid­matan dan pembantu rumah.

Sebenarnya angka pendatang asing tanpa izin (PATI) lebih besar jumlahnya di negara ini. Bayangkan, kita dikelilingi kira-kira 4.6 juta PATI yang mencari sesuap nasi di negara ini.

Itu belum cerita lebih 90,000 ekspatriat di Malaysia. Berdasarkan statistik Expat City Ranking 2017, Kuala Lumpur diletak pada kedudukan keempat daripada 51 negara yang menjadi pilihan ekspatriat.

Di Malaysia, ekspatriat didefinisikan sebagai warga asing yang memegang jawatan dalam pengurusan tertinggi syarikat milik asing atau memegang jawatan bukan eksekutif yang memerlukan kemahiran teknikal. Rekod menyaksikan ekspatriat dari Bangladesh membentuk kumpulan paling ramai dengan 62,110 orang diikuti India, China, Filipina, Jepun dan Indonesia.

Justeru, apabila Kementerian Sumber Manusia mahu menguatkuasakan peraturan baharu yang hanya membenarkan tukang masak tempatan bekerja di restoran di seluruh Malaysia, ramai yang mengkritik cadangan itu. Netizen secara terbuka berkata, idea Menterinya, M. Kulasegaran sebagai mengarut dan langkah itu merupakan satu bentuk diskriminasi serta prejudis terhadap tukang masak ­asing.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan pula menyifatkan pengumuman itu sebagai keputusan mendadak dan populis yang dibuat tanpa sebarang rundingan.

Memetik kenyataan Kulasegaran, cada­ngan itu sebenarnya adalah salah satu manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat untuk mengurangkan enam juta pekerja asing kepada empat juta dalam penggal pertama pentadbirannya.

Persoalannya kini, kenapa hanya tukang masak disasarkan? Bagaimana pula de­ngan warga asing yang bekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan, perladangan, pertanian dan pembantu rumah? Adakah dengan menyekat tukang masak, hasrat PH itu dapat direalisasikan?

Mengikut perkiraan tidak rasmi, jumlah tukang masak warga asing di Malaysia kira-kira 100,000 orang sahaja iaitu 1.6 peratus daripada keseluruhan warga asing di negara ini.

Barangkali niat Kulasegaran memang baik. Namun, beliau tidak perlulah terburu-buru. Ahli Parlimen Ipoh Barat itu sepatutnya mencari formula berkesan untuk menggalakkan lebih ramai tukang masak tempatan bekerja di restoran berbanding mengenakan larangan ke atas tukang masak asing. Fikir-fikirkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN