MOSCOW – Belgium menepati ramalan melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2018 dengan penuh bergaya selaku pasukan pilihan apabila mencatat kemenangan kedua dengan membelasah Tunisia 5-2 dalam aksi Kumpulan G di Stadium Spartak malam tadi.
Penyerang Manchester United, Romelu Lukaku dan pemain tengah Chelsea, Eden Hazard menjadi inspirasi kemenangan pasukan yang dikenali dengan jolokan The Red Devils itu selepas masing-masing meledak dua gol buat skuad kendalian Roberto Martinez.
Dalam aksi tersebut, Hazard yang juga merupakan kapten pasukan Belgium membuka tirai jaringan seawal minit keenam apabila pengadil, Jair Marruto memberikan sepakan penalti selepas Syam Ben Youssef mengasarinya.
Lukaku menggandakan kedudukan buat Belgium kira-kira 10 minit kemudian tetapi Tunisia kembali bangkit merapat jurang dengan meledak gol pertama mereka hasil jaringan Dylan Bronn pada minit ke-18.
Bagaimanapun, Lukaku yang kini menjaringkan empat gol sepanjang dua perlawanan, kembali meletakkan The Red Devils di kedudukan lebih selesa dengan meledak gol ketiga pada masa kecederaan babak pertama.
Bersambung di babak kedua perlawanan, Hazard menghukum kerapuhan benteng pertahanan Tunisia dengan meledak gol keempat (min ke-51) sebelum pemain gantian, Michy Batshuayi melengkapkan pesta gol pada minit ke-90.
Wahbi Khazri berjaya menjaringkan gol kedua Tunisia kira-kira seminit sebelum wisel penamat dibunyikan menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan 5-2.
Kemenangan bergaya itu membolehkan Belgium unggul menerajui kedudukan Kumpulan G dengan mengumpul enam mata dan mengulangi kejayaan edisi lalu sebelum mereka disingkirkan oleh Argentina pada peringkat suku akhir di Piala Dunia 2014 Brazil.
The Red Devils akan melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan dengan bertemu England, manakala Tunisia pula akan menentang Panama pada Jumaat ini. – Agensi










