JAMES Rodriguez dilahirkan dalam keluarga pertengahan di Cucuta, bandar yang terletak di sempadan Colombia dan Venezuela, namun dia menghabiskan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya di bandar Ibague.
![]() |
|
|
Dia ‘ditatang bagai minyak yang penuh’ oleh ibu bapanya kerana merupakan anak tunggal kepada pasangan Wilson James Rodriguez Bedoya dan Maria Del Pilar Rubio.
Minat terhadap bola sepak diwarisi daripada bapanya, malah Rodriguez telah menunjukkan kecenderungan terhadap sukan No. 1 dunia itu sejak berusia dua tahun.
Ketika membesar, Rodriguez tidak perlu bermain bola sepak di jalanan memandangkan ibu bapanya mampu membesarkannya dengan ilmu bola sepak yang sempurna apabila dia dihantar ke Akademi Bola Sepak Tolimense.
“Saya amat meminati bola sepak dan bapa memasukkan saya ke akademi Tolima pada usia lima tahun, begitulah permulaan karier saya,” kata Rodriguez.
Walaupun mendapat sokongan penuh ibu bapanya dalam semua perkara, namun pembesaran bintang Bayern Munich itu tetap tidak mudah.
Rodriguez mempunyai masalah gagap dalam percakapan sehingga pada satu tahap dia malu untuk berdepan masyarakat.
Ibu bapanya mengeluarkan wang besar untuk mengupah ahli terapi bagi membantu anaknya bertutur dengan lebih baik dan membentuk dirinya menjadi bintang yang sempurna.
Ketika berusia 13 tahun, rakan-rakan sepasukan jarang mendengar Rodriguez bercakap kerana masalah gagap yang dihadapinya, malah sehingga hari ini dia berdepan kesukaran untuk bertutur dan tidak bekeyakinan untuk ditemubual media.
Rodriguez masih mendapatkan rawatan terapi dan dia berjaya mengatasi masalah itu melalui kaedah membaca buku dengan banyak.
Kejayaan Rodriguez menjadi bintang bola sepak yang disegani hari ini adalah hasil sokongan ibu bapanya.
Kegagalan Bedoya meneruskan karier sebagai pemain bola sepak walaupun pernah mewakili Colombia dijadikan azimat untuk memastikan nasib sama tidak menimpa anaknya.
“Adakalanya dalam hidup ini manusia akan belajar daripada kesilapan sendiri atau orang lain,” kata bapanya, Bedoya.












