SAUDARA PENGARANG,
MASALAH graduan menganggur boleh dikategorikan sebagai permasalahan yang tidak pernah selesai.
Sama juga dengan permasalahan kadar pendapatan bulanan rakyat Malaysia yang tidak pernah setara dengan kadar perbelanjaan bulanan. Masalah ini mula disiarkan dalam akhbar tempatan pada 1946 dan hingga hari ini, kita masih lagi berbincang isu sama.
Covid-19 akan menjadi satu cabaran terbesar buat graduan baharu dalam pasaran pekerjaan. Berdasarkan kajian didedahkan Khazanah Research Institute, keluaran graduan warganegara pada 2018 ialah sebanyak 290,282 orang dan 17 peratus daripadanya melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran.
Selebihnya, seramai 241,000 graduan memasuki pasaran buruh. Dengan kadar purata belia yang memasuki pasaran pekerjaan sejak 2015 sebanyak 9.1 peratus, jumlah keluaran graduan pada 2020 dianggarkan sebanyak 286,8007.
Dengan jumlah ini, ditambah pula dengan anggaran peningkatan pengangguran kepada empat peratus pada tahun ini (berbanding 3.3 peratus pada 2019), menjadi satu cabaran besar kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, pergerakan yang terhad sepanjang pandemik Covid-19 juga merupakan halangan utama mereka untuk mencari pekerjaan dan menghadiri temu duga secara fizikal.
Antara punca syarikat tidak mengambil graduan kerana dikatakan tidak memiliki kemahiran berkomunikasi dengan baik dan program diambil tidak menepati kehendak industri.
Majikan tidak sepatutnya menyalahkan institusi pengajian tinggi (IPT) kerana gagal menyediakan graduan yang sesuai dengan kehendak industri, sedangkan syarikat langsung tidak membuka ruang untuk graduan baharu menyesuaikan diri.
Majikan perlu memberi ruang dan peluang kepada graduan baharu serta usah terlalu cepat menilai. Sesetengah graduan mungkin memerlukan masa setahun untuk menjadi mahir dalam bidang pekerjaan.
Pelbagai peruntukan dan inisiatif turut diumumkan kerajaan untuk mengurangkan kesan krisis Covid-19 kepada pasaran buruh. Kebanyakan inisiatif yang diumumkan adalah menyeluruh, namun manfaat kepada belia dan graduan baharu adalah minimum.
Misalnya, sebanyak RM100 juta diperuntukkan dalam bentuk geran sepadan kepada Pakej Rangsangan Latihan 2020 untuk melatih sekurang-kurangnya 40,000 pekerja di sektor yang berpotensi melalui pensijilan profesional dan kursus berkaitan industri.
Bagaimanapun, pakej itu hanya merangkumi semua pekerja sedia ada yang sedang bekerja di syarikat-syarikat berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Dalam pada itu, kekurangan kekosongan jawatan tidak seharusnya mengehadkan peluang graduan menganggur untuk menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran. Langkah Kementerian Belia dan Sukan mewujudkan Program Skim Perantisan Nasional (SPN) merupakan satu gerakan positif dalam usaha membantu graduan menganggur ini.
Program SPN merupakan program tawaran baharu kolaborasi rentas kementerian bagi memberi pengalaman bekerja melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat/organisasi yang terlibat dan membantu melonjakkan kebolehpasaran belia pasca Covid-19.
NG KOOI JIN
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM)










