SHAH ALAM 14 Ogos – Pas akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dalam satu program ceramah di Desa Menteri, Petaling Jaya, malam esok.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, calon tersebut merupakan tokoh berpegalaman, dikenali ramai serta berwibawa dan diyakini mampu menarik sokongan rakyat di kawasan itu.
“Saya tidak boleh jelaskan dahulu siapa dia tetapi beliau adalah ahli politik yang disegani dan cukup berpengalaman dalam pentadbiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu, Shaharuddin menang besar selepas memperolehi 29,250 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M. Haniff (9,878 undi), calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563 undi) dan calon bebas S. Vigneswaran (217 undi).
BN sebelum ini memutuskan untuk memberi laluan kepada Pas bertanding di Seri Setia sebagai membalas kesediaan Pas yang terlebih dahulu berbuat tindakan serupa di DUN Sungai Kandis. – UTUSAN ONLINE










