Setiap kali melalui kawasan perindustrian Balakong, saya mesti teringat satu kisah yang buat saya tersenyum sendiri. Ia berlaku pada awal tahun lalu sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Hari itu, selepas seharian berada di atas jalan raya, saya hampir tiba di rumah dan agak keletihan. Jam pun menunjukkan pukul 9.30 malam. Dalam jarak 500 meter ke rumah, tiba-tiba satu Ping masuk. Malasnya, dalam hati saya mengeluh. Namun mata saya segar tiba-tiba bila terpandang destinasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2). Wah, ‘masyuk’, desis hati saya gembira.
Setibanya di pick up point, rupanya ia kawasan rumah kedai. Ada empat jejaka Bangladesh berdiri menunggu. Saya membuka tingkap sambil bertanya nama yang tertera pada aplikasi Grab. Salah seorang menjawab betul dan mahu berbincang sesuatu.
“ Kakak, boleh tak nanti mahu naik kereta ini semula sebab kami mahu ambil kawan saja di KLIA dan pulang ke sini,” kata seorang yang agak berusia.
“Boleh, tapi kena bayar dua kali ganda lah,” kata saya. Mereka bersetuju dan dua daripadanya naik. Salah seorang duduk di hadapan sambil memberi salam. Saya sebenarnya ada satu perasaan apabila membawa Grab. Sekiranya penumpang warga asing masuk ke kereta dan memberi salam, lega sungguh rasa di hati. Seakan rasa selamat.
Untuk membunuh suasana sunyi, saya ajak mereka bersembang. Saya bertanya, siapa kawan yang mereka mahu ambil di KLIA? Jawab jejaka di sebelah, seorang rakan senegara yang datang ke Malaysia untuk bercuti. Dalam hati saya berkata, ‘amboi bukan main orang Bangladesh ini, bercuti ke Malaysia? Setibanya di tiang yang dijanjikan, rakan mereka masuk ke dalam kereta. Lain penampilannya, lebih bergaya. Rupa-rupanya dia bekerja di Singapura sebagai tukang cuci di sana. Datang ke Malaysia menghabiskan cuti selama seminggu. Maka, selaku bekas wartawan, saya pun mula mengorek cerita tentang pekerjaannya.
“Saya dah kerja tujuh tahun di Singapura. Gajinya memang banyak, jauh beza dengan gaji di Malaysia.
“Sebelum ini, bila ada cuti saya pergi ke tempat-lain di Malaysia, macam Pulau Pinang, Langkawi, Sabah dan banyak lagi,” kata si pemuda itu. Bila dah lama bersembang, akhirnya saya hampir tiba ke jalan pintas yang gelap.
Tiba-tiba saya rasa kecut perut dan mula fikir perkara-perkara buruk. Dalam kereta ini ada tiga lelaki, saya seorang saja perempuan. Buatnya mereka ada niat jahat, mati aku, hati kecil saya berkata. Jam pula sudah pukul 11 malam. Otak saya ligat berfikir. Tak semena-mena saya dapat satu idea.
“Dekat sini polis selalu buat roadblock. Kadang-kadang mereka buat rondaan dengan motosikal sebab banyak kes,” saya berkata tiba-tiba menganggu percakapan tiga lelaki yang tengah rancak bersembang dalam bahasa mereka itu.
Sebenarnya, saya pun tak tahu ada polis di situ tapi sebab takut punya pasal, saya reka saja cerita. Mereka bertiga terdiam. Takut dengan polis atau terkejut dengan kata-kata saya, saya kurang pasti. Yang penting, saya rasa selamat ‘berbohong sunat’ dalam suasana pekat malam tanpa lampu jalan itu.
Setibanya di destinasi drop off, rasa lega sangat. Tersengih-sengih saya ketika penumpang menghulurkan duit tambang. Dalam hati saya berkata, “nasiblah kena kelentong dengan aku, sebabnya aku memang takut!” – Mingguan Malaysia










