TECTONA GRANDIS L.F atau kayu jati. Kayu daripada jenis ini cukup terkenal dengan lima aspek penting dalam menjadikan ia sangat istimewa di mata peminat tegarnya.
Memiliki corak unik dan elegan, stabil, awet, kuat dan mudah dikerjakan, jati menjadi pilihan utama buat mereka yang menekankan perspektif kualiti dan mutu terutama untuk barangan perabot bagi menghiasi ruang kediaman.
Menepati cita rasa mewah dan tahan lasak, perabot kayu jati juga adalah pilihan tepat jika anda ingin mencipta suasana klasik bak istana Melayu lama.
Melihat kepada faktor peredaran zaman, benarkah nilai estetika perabot jati itu sendiri sudah semakin terhakis dek lambakan konsep susun atur ala Barat yang kemudiannya menyebabkan penggunaan perabot kayu kayan tidak lagi menjadi pilihan generasi muda masa kini?
Menemui Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Perabot Jatimas Sdn. Bhd., Zawati Ibrahim, 49, beliau sebaliknya melihat ada perkembangan menarik tentang kesedaran dan nilai penghargaan terhadap perabot kayu kayan dalam kalangan penggemar hiasan rumah.
Malah, apabila semua orang ‘terperangkap’ di dalam rumah kerana mengikuti arahan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, ramai juga mulai bercambah minat dalam ilmu menghiasi kediaman masing-masing dengan citarasa sendiri.

“Salah satunya adalah menerusi penggunaan perabot kayu jati. Tetapi, penggunaan perabot itu haruslah dalam rekaan lebih moden dan kontemporari.
“Ini kerana lazim kita mendengar konsep perabot jati ini sinonim dengan citarasa emak-emak atau orang tua, jadi golongan muda ini kurang berminat.
“Sebagai mendengar maklum balas orang muda, Jatimas sendiri cuba berinovasi dengan menghasilkan rangkaian produk dan perabot berasaskan kayu jati dengan rekaan moden dan minimalis,” katanya.
Beroperasi sejak 20 tahun lalu, kata Zawati, dia memuji rata-rata pelanggan kini sudah bijak menilai kualiti
MAHAL Berbaloi
Menurutnya lagi, meski pun begitu, dari segi penetapan harga, perabot jenis ini tidak dapat tidak memang tinggi harganya daripada mana-mana kayu biasa lain kerana harus difahami, bahan mentah untuk kayu tersebut sememangnya sangat mahal.

Kata Zawati, ini kerana ia berasal daripada sumber semulajadi dan tidak mudah didapati.
“Bagi menyesuai padankan dengan kehendak pasaran dan arus perdana, ada antara rekaan perabot itu disuntik dengan elemen fabrik atau kulit. Dari situ, kos penggunaan kayu dapat dikurangkan.
“Pun begitu, pilihan perabot ini masih lagi bagi mereka yang sanggup membayar pada harga tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, kata Zawati, ketika tempoh PKP berlangsung, dia terkejut kerana jualan perabot naik mendadak berbanding sebelumnya.
“Semasa PKP, tentulah perkara terakhir orang fikirkan untuk membeli adalah barangan yang mahal.Tetapi siapa sangka, terdapat segolongan individu yang mahu mencipta kehidupan dan aura selesa, cantik dan tenang di rumah.
“Rata-ratanya mahu duduk di rumah dalam suasana indah dan tenang. Mudah cerita macam frasa yang biasa kita dengar, rumahku syurgaku,” katanya.
TIPS HIASAN
Sekiranya ingin bereksperimen dengan perabot kayu jati, berikut beberapa tips dikongsi Zawati dalam membantu anda mengubah suai kediaman tanpa kelihatan janggal.
1. KONSEP
PEMILIK rumah perlu jelas dengan konsep diingini bagi mengelakkan kesilapan meletakkan unsur asing sekali gus menyebabkan ruang tampak serba tidak kena di mata. Ramai pemilik kediaman, datang ke kedai dan terus membeli barang atau perabot tanpa mempunyai ilmu dalam penetapan konsep. Maka, apabila perabot itu sampai di rumah, susun atur pula bagai tidak menjadi, caca marba dan akhirnya pemilik buntu.
2. TIDAK KEDEKUT
Usah kedekut untuk mendapatkan khidmat rundingan pereka dalaman. Ini bagi memastikan peruntukan kewangan anda berbaloi dalam mewujudkan ruang impian tidak melebihi bajet dikeluarkan.
3. BANDING
Harus bijak membuat perbandingan harga dan menetapkan kebolehpercayaan sesebuah jenama barangan atau perabot diingini. Ini kerana banyak jenama hadirnya bagai konsep touch & go. Kenalpasti jenama diingini. Lebih baik sekiranya melakukan sedikit tinjauan mengenai reputasi syarikat atau ketahanan perabot dijual terlebih dahulu.
4. PELBAGAI










