[VIDEO] Sanggup gadai nyawa sebab ketagih lumba haram - Utusan Malaysia

[VIDEO] Sanggup gadai nyawa sebab ketagih lumba haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 12 Ogos – Hanya kerana tidak mampu hilangkan ketagihan dalam lumba haram, seorang pemuda sanggup menggadaikan nyawanya menyertai aktiviti tidak bermoral itu.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa pemuda berasal dari Sabak Bernam yang dikenali sebagai Asraf, 22, apabila dia ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan di Kilometer 12.3, Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang awal pagi ini.

Menurut Asraf yang bekerja di Kepong, dia menyertai lumba haram itu adalah bagi menghilangkan ketagihan dan sekadar berseronok sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya terlibat dengan lumba haram sejak berusia 20 tahun bermula di kampung dan susah nak buang gian berlumba menyebabkan terus menyertai walaupun tidak memperolehi wang tunai sebagai imbuhan.

“Malah, saya pernah terfikir sekiranya nyawa melayang akibat berlumba tetapi tetap meneruskannya bagi menghilangkan tekanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 103 motosikal sepanjang operasi bermula pukul 2 pagi.

“Hasil pemeriksaan, seramai 13 lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin(PATI) ditahan berikutan terlibat dengan perlumbaan haram atau menunggang secara berbahaya.

“Selain itu, kesalahan yang banyak dilakukan penunggang motosikal lain ialah menunggang motosikal tanpa lesen dan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×