TRAGEDI lebih banyak menghantui penganjuran Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar malah menjadi tumpuan seluruh dunia terutama selepas ada atlet yang maut semasa bertanding.
Berlangsung pada 1 hingga 15 Disember 2006, sebanyak 424 acara daripada 39 jenis sukan dipertandingkan dalam Sukan Asia 2006 dengan 9,520 atlet dari 45 negara mengambil bahagian.
Kematian atlet ekuestrian Korea Selatan, Kim Hyung-chil sewaktu bersaing dalam acara merentas desa pada 7 Disember telah membuatkan tuan rumah tersentak malah tumpuan dunia juga mula beralih ke Sukan Asia 2006.
Hyung-chil maut selepas kuda yang ditunggangnya terjatuh dan menghempap dirinya sewaktu dalam pertandingan.
Insiden tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kemampuan penganjur terutama melibatkan aspek keselamatan kerana kejadian berlaku akibat keadaan trek licin selepas hujan.
Insiden itu yang pertama melibatkan kematian dalam sejarah Sukan Asia. Seminggu sebelum kejadian tersebut, seorang sukarelawan Sukan Asia wanita dari India berusia 60 tahun maut akibat kemalangan jalan raya.
Bukan itu sahaja, tuan rumah juga berdepan ujian apabila beberapa hari sebelum temasya bermula, ada atlet dari Maldives dikesan terkena demam campak dalam kawasan Perkampungan Atlet tetapi perkara tersebut dapat diatasi dengan cepat oleh Qatar.
Doha dipilih menjadi tuan rumah Sukan Asia 2006 selepas pencabar terdekat Kuala Lumpur mendapat 13 undi pada pusingan pertama manakala Doha 20 dan Hong Kong mendapat enam undi.
Dalam undian pusingan kedua, Doha memperoleh peratusan undi majoriti apabila mendapat 22 undi manakala Kuala Lumpur 13 dan Hong Kong enam undi.
Sebanyak 41 negara anggota Majlis Olimpik Asia (OCA) kecuali Korea Utara yang tidak hadir, memilih ibu negara Qatar itu menerusi perwakilan masing-masing dalam perhimpunan agung mereka di sini.
Walau bagaimanapun, keputusan pemilihan Doha untuk menganjurkan temasya sukan yang dianggap ketiga terbesar di dunia itu menimbulkan kejutan dan persoalan.
Di gelanggang pula, seperti kebiasaan, China terus unggul menguasai kedudukan teratas pingat selepas mengumpul 165 pingat emas, 88 pingat perak dan 63 pingat gangsa.











