KUALA LUMPUR 11 Ogos – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghalang atau mempengaruhi anak sulungnya, Nurul Izzah untuk menyokong mana-mana pihak dalam pemilihan parti itu.
Beliau sendiri pernah berbincang dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan mendapati Nurul Izzah yang akan bertanding jawatan Naib Presiden turut mengambil pendirian untuk mengelak daripada dilihat menyokong mana-mana calon.
“Kalau sesiapa ikuti sikap politiknya, beliau sangat tegas dan bebas. Ada hal yang beliau setuju dengan saya, banyak hal juga yang beliau tidak setuju dengan saya.
“Kita harus anggap beliau itu mempunyai pendirian sendiri. Tetapi tidak menghalang beliau menyokong mana-mana pihak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di pejabatnya dekat sini semalam.
Gambar Nurul Izzah yang dipaparkan di dalam poster kem calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli menyebabkan pemerhati politik menganggap beliau merupakan antara pemimpin PKR yang berpihak kepada bekas Ahli Parlimen Pandan itu.
Anggapan itu sekali gus membuatkan kem Rafizi seolah-oleh dilihat seperti mendapat restu daripada Anwar untuk menentang kumpulan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Anwar bagaimanapun menyatakan kedua-dua Mohamed Azmin dan Rafizi berada di dalam kemnya.
Antara mereka yang turut bertanding jawatan Naib Presiden yang berada di dalam kem Rafizi ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.










