KEBIASAANNYA individu yang berpangkat bos acap kali dilabel sebagai golongan yang sinonim dengan imej dan peribadi yang serius. Apatah lagi bagi mereka yang memiliki syarikat sendiri atau memegang jawatan besar dalam sesebuah organisasi, sudah pasti jarang sekali umum melihat sisi kehidupan mereka yang lebih santai.
Bagaimanapun, begitulah yang cuba ditonjolkan dalam program terbaharu berjudul Lawak Bos Bos. Program yang disiarkan menerusi saluran Astro Warna ini merupakan sebuah naskhah yang menampilkan satu lagi isi kandungan yang bersifat cukup unik dan segar.
Ini kerana, buat pertama kali penonton berpeluang melihat sendiri secara lebih dekat telatah individu-individu ternama yang bergelar bos dalam sebuah program bergenre komedi. Lebih menarik apabila program yang bersiaran selama 26 episod ini menampilkan pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak selaku pengacara.
Menurut pengarahnya, Rizal Risman, program ini merupakan satu pendekatan dalam mengetengahkan sisi berbeza golongan bos yang tidak pernah dipertontonkan kepada umum sebelum ini.
“Melihat kepada nama program ini sahaja, kita sudah sedia maklum bahawa ia bentuk santai yang menyuntik elemen humor dalam penyampaiannya.
“Kali ini, kita bawakan seramai 26 orang besar yang mempunyai syarikat sendiri atau digelar bos untuk turut serta dalam menjayakan program komedi ini. Di sinilah nanti penonton dapat melihat bagaimana kehidupan seharian mereka.
“Bagaimanapun, pada masa sama, kita tarik mereka untuk keluar daripada imej korporat dan serius mereka. Justeru, Zizan merupakan individu yang akan memainkan peranannya selaku pelawak,” katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Antara individu yang terlibat termasuklah Datuk Jovian Mandagie pemilik Jovian, Satira Diana & Farah Melissa (Kek & Co.), Brian Loo (Tealive), Rita Sosilawati (Nouvelles Visage), Farid Yunus (Yoodo) dan Datuk Noor Azrin Mohd. Noor (Sedania).
Menurut Rizal lagi, dalam setiap episod, terdapat beberapa segmen berbentuk hiburan yang perlu dilaksanakan mereka sebagai satu tugasan. Antaranya termasuklah bermain permainan tradisional seperti congkak dan ceper.
“Ada juga segmen dipanggil P&C Box yang mana golongan bos ini mereka perlu bermain teka-teki dan berkongsi pengalaman zaman sekolah.
“Selain itu, ada juga Zizan melakukan tugas-tugas di pejabat seperti pelajar yang menjalani latihan industri melakukan kerja yang diarahkan,” katanya.
Jelasnya lagi, program tersebut sudah menjalani penggambaran sekitar Mei lalu selama dua bulan.
“Antara cabaran yang kita hadapi termasuklah kesukaran untuk dapatkan babak menunjukkan mereka bergelak ketawa.
“Ini kerana, kita sedia maklum bahawa mereka ada imej korporat yang sudah terbiasa perlu dijaga,” katanya yang memberitahu program tersebut bersiaran setiap Isnin dan Rabu pada pukul 9 malam yang memasuki episod ketiga esok.











