KLANG 11 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.
Perdana Menteri tiba pukul 11.40 pagi di Terminal Boustead Cruise Center, sambil diiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Equanimity yang berharga RM1 bilion itu tiba di Pelabuhan Klang Selasa lalu selepas berlepas dari perairan Batam, Indonesia, sehari sebelumnya.
Kapal tersebut dibawa pulang ke Malaysia dengan diiringi kapal frigat, KD Jebat, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga buah kapal ronda Polis Marin.
Kapal itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari lalu ekoran siasatan yang dilakukan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Kerajaan Indonesia kemudian menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Dr. Mahathir semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu. – UTUSAN ONLINE











