KUALA LUMPUR 11 Ogos – Persis penyanyi lagenda Nike Ardilla, nama Dike Ardilla suatu ketika dahulu pernah menjadi sebutan dalam kalangan peminat muzik di Indonesia.
Bagaimanapun pilihan untuk “meniru” penyanyi lagenda itu bagaimanapun hanya bertahan seketika buat Dike atau kini lebih dikenali sebagai Diana Chora.
“Saya juga tidak mahu pada mulanya untuk menjadi Nike Ardilla kedua, sebab saya lebih senang untuk muncul sebagai diri sendiri.
“Tetapi pihak pengurusan di bawah Deddy Dores yang meminta saya berbuat demikian kerana karakter saya ketika itu sangat menyamai Nike,” katanya yang hadir ke Malaysia baru-baru ini untuk promosi single terbaharunya Merindumu.
Mengakui menerima pelbagai reaksi peminat ketika muncul sebagai Nike, Diana bagaimanapun tetap bersyukur dengan perjalanan seninya yang bermula sejak tahun 2000.
“Mestilah ada peminat yang tidak suka tetapi ketika itu saya tetap mencipta kelompok peminat sendiri.
“Saya juga sempat menyiapkan empat buah album dalam tempoh lapan tahun sebelum mengundurkan diri dari pihak pengurusan dan memilih untuk melangkah secara sendiri dalam dunia seni,” katanya lagi.
Mengambil masa yang agak panjang untuk kembali dengan semangat baru, kini Diana bukan sahaja menggunakan namanya sendiri tetapi juga selesa dengan penampilan bertudung.
“Saya mula mengenakan tudung pada tiga tahun lepas. Walaupun bertudung tetapi ini tidak membataskan aktiviti seni saya di Indonesia. Malah saya juga kerap membuat persembahan di beberapa daerah di sana.
“Malah tahun 2018 menjadi tahun untuk saya memberi salam pengenalan buat peminat di sini. Walaupun agak lewat tetapi saya tetap mahu mencuba,” katanya lagi yang bakal membuat persembahan di Malaysia tidak lama lagi.
Selain bidang nyanyian, Diana juga turut aktif sebagai ikon fesyen buat wanita bertudung di Indonesia.
Jelasnya yang juga pemilik laman web Dianachora.com, menerusi media sosial tersebut dia turut menjual koleksi barangan peribadi..
“Saya suka bereksperimen dengan gaya sendiri. Walaupun bertudung saya mahu buktikan masih ada ruang untuk berfesyen.
“Saya juga turut menjual aksesori bagi mereka yang ingin meniru gaya saya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











