PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan barisan menteri dalam Pakatan Harapan (PH) agar bersikap lebih sensitif dengan pandangan orang ramai membabitkan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Beliau berkata, jemaah menteri sepatutnya mengeluarkan kenyataan mengenai Mara secara lebih berhati-hati kerana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pandangan rakyat terhadap agensi berkenaan.
“Berkenaan dengan Mara ini, ia sudah jadi satu isu senstif yang perlu diberi perhatian oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga PH.
“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai. Kalau kita nak dapat sokongan orang ramai, kita mesti sensitif kepada pendapat mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Anggota Tertinggi Bersatu di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau mahu memperkenalkan kod etika Jepun kepada masyarakat umum di negara ini bagi melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.
Katanya, kod etika berkenaan merupakan satu perkara yang wajib diikuti oleh penduduk di negara berkenaan sejak mereka kecil lagi dan pendekatan tersebut perlu diterapkan dalam diri golongan muda di Malaysia.
“Sudah tentu pendekatan serupa tidak boleh diterapkan secara sepenuhnya di negara ini, namun adalah penting untuk membesarkan anak-anak kita dengan sistem pendidikan yang bersesuaian.
“Kita dapat lihat banyak anak muda yang tidak berminat untuk belajar, bekerja dan membuat apa-apa sebaliknya lebih berminat menjadi mat rempit dan melakukan macam-macam lagi kegiatan tidak membina,” katanya.
Justeru, Mahathir memberitahu, kerajaan akan menangani masalah tersebut menerusi sistem pendidikan dan lain-lain kaedah yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Banyak yang perlu dilakukan bagi melatih pemimpin masa depan di negara kita,” katanya. – K! ONLINE











