KUANTAN 10 Ogos – Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa bertanding bagi jawatan Presiden PKR satu berita yang cukup menggembirakan dan sudah lama dinanti-nantikan ahli akar umbi termasuk PKR Cabang Indera Mahkota di sini.
Ketua Cabang PKR Indera Mahkota, Lee Chean Chung berkata, adalah menjadi harapan ahli-ahli untuk melihat Anwar kembali menerajui pimpinan PKR selepas hampir dua dekad tidak bersama.
“Kemenangan itu membuktikan sokongan kuat dan kepercayaan tidak berbelah-bahagi ahli terhadap beliau untuk terus membawa perubahan, bukan sahaja kepada parti tetapi negara keseluruhannya.
“Kami berharap dengan kembalinya beliau dalam barisan kepemimpinan, PKR akan lebih kuat. Keputusan tersebut menandakan kesepakatan dalam kalangan pemimpin tertinggi PKR menerima Anwar sebagai Presiden,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan tarikh dan lokasi serta perjalanan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Indera Mahkota di pejabatnya di Jalan Ahmad di sini hari ini.
MATC Indera Mahkota akan diadakan pada 25 Ogos ini di pekarangan pejabatnya termasuk sesi dialog pada hari tersebut bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Anwar diumumkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR pada 5 Ogos lalu, sekali gus mengambil alih jawatan itu selepas penyandang yang juga isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Sementara itu, menurut Chean Chung, Anwar juga berhak untuk bertanding kerusi Parlimen melalui pilihan raya kecil.
“Tiada sebab hak itu dinafikan kerana beliau sudah lama menunggu, jadi tidak timbul isu jika mana-mana kerusi dikosongkan bagi memberikan laluan untuknya bertanding.
“Beliau menunggu dalam keadaan orang lain tidak sanggup melaluinya (dipenjarakan), namun semangat dan perjuangan pemimpin ini tidak pernah luntur untuk mengubah kerajaan dan hari ini, kita sudah menerajui Putrajaya,” katanya.
Malah, katanya, ahli akar umbi turut mengalu-alukan Anwar kembali bersama-sama menerajui Kabinet bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.











