Harussani sokong Mujahid - Utusan Malaysia

Harussani sokong Mujahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 10 Ogos – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mengarahkan pos­ter berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam satu pameran di Pulau Pinang diturunkan.

Menurutnya, tindakan berani mengatakan kebenaran itu tepat kerana ia bagi mempertahankan kredibiliti institusi agama Islam.

Beliau berkata, perbuatan mempromosikan ikon-ikon LGBT dilihat sebagai usaha untuk menggalak dan mengiktiraf perbuatan haram tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tahniah dan syabas kepada menteri agama kerana berani menyatakan kebenaran apabila mengarahkan poster berkaitan golongan LGBT dalam satu pa­meran di Pulau Pinang diturunkan.

“Tindakan itu secara tidak langsung mempertahankan kre­dibiliti institusi agama Islam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Harussani, LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat oleh Allah sama ada dilakukan secara terang-terangan atau sembunyi.

“LGBT juga merupakan perbuatan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia kerana ia menafikan perhubungan melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf syarak,” katanya.

Kelmarin, Mujahid mengaku mengarahkan poster berkaitan golongan LGBT dalam pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di George Town, Pulau Pinang diturunkan.

Mujahid berkata, pameran berkenaan bertujuan mempro­mosi golongan LGBT yang bertenta­ngan dengan polisi Pakatan Harapan dalam isu LGBT dan dilihat seperti mencabar polisi yang ditetapkan.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini