AWANG menyokong penuh amaran oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof supaya setiap anggota Parlimen menjaga tingkah laku ketika mengambil bahagian semasa mesyuarat berlangsung. Mereka diingatkan supaya tidak menggunakan kata-kata kesat serta berbaur lucah.
Peringatan seumpama itu bukanlah kali pertama tetapi umpama masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Memandangkan mesyuarat penggal ini menampilkan 90 anggota baharu, eloklah amaran itu diperingatkan semula, bukan sahaja kepada orang baharu tetapi mereka yang sudah berpengalaman.
Gunalah bahasa atau ayat yang lebih sopan kerana mesyuarat itu turut disaksikan oleh orang luar sama ada di dalam Dewan atau melalui televisyen dan laman sosial. Jadilah contoh yang terbaik kepada rakyat supaya perbahasan itu benar-benar berkualiti.
Ingatlah, tindak tanduk atau perangai tidak elok boleh mempengaruhi masyarakat di luar untuk dijadikan ikutan. Akhirnya terjadilah umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Wakil rakyat ada ‘lesen besar’ dan bebas bercakap tetapi jagalah adab.
Awang percaya tidak timbul masalah besar jika wakil rakyat dapat mengawal kebebasan bercakap di dalam Dewan. Mesyuarat boleh tenang jika ketika berbahas, mereka saling hormat menghormati, tidak menyinggung perasaan, bersangka buruk atau memfitnah. Pengendali mesyuarat juga perlu adil dan berusaha mengelakkan suasana yang boleh mencetuskan kekecohan.
AWANG – Sabar hadapi provokasi.











