PBJ Pasir Mas di belakang Bibi Ramjani - Utusan Malaysia

PBJ Pasir Mas di belakang Bibi Ramjani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 9 Ogos – Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Pasir Mas tampil sebagai PBJ pertama yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan serta barisan kepemimpinan badan induk tersebut.

Timbalan Yang Dipertua PBJ Pasir Mas, Mohd. Rizduan Ibrahim berkata, pendirian itu secara tidak langsung menangkis fitnah kononnya PBJ Pasir Mas ialah pihak yang bertanggungjawab mencetuskan ‘kempen’ menyingkirkan Bibi Ramjani.

Menurutnya, PBJ Pasir Mas berpendapat Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyingkirkan Presiden Kafa merupakan satu tindakan tidak perlu dan terburu-buru, lebih-lebih lagi di waktu kemelut melanda dan TRW berdepan prestasi merudum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami dengan ini sebulat suara menyokong penuh barisan jawatankuasa kepemimpinan Kafa diketuai Bibi Ramjani yang dipilih secara sah menerusi Kongres Kafa Ke-63 pada September tahun lalu.

“Sokongan kami ini dibuat berdasarkan Perlembagaan Kafa dan kami tidak akan sesekali melanggarnya,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Yang Dipertua PBJ Pasir Mas, Tengku Iskandar Tengku Ahmad, di sini hari ini.

Semalam, PBJ Tanah Merah dilaporkan mendesak Kafa mengadakan EGM bagi menukar pucuk pimpinan dan gerakan tersebut sebelum ini didakwa dimulakan oleh PBJ Pasir Mas.

Bagaimanapun, Bibi Ramjani menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan sebarang gesaan daripada pihak tertentu yang memintanya berundur daripada badan induk itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Rizduan berkata, PBJ Pasir Mas seolah-olah menjadi kambing hitam apabila dituduh sebagai pencetus gerakan menyingkirkan Bibi Ramjani sedangkan perkara itu dimulakan oleh pihak lain yang berkepentingan.

“Kenyataan Setiausaha PBJ Pasir Mas, Mohd. Adnan Abd. Rahman baru-baru ini sebenarnya telah disalah tafsir kononnya kitalah yang mendesak Kafa mengadakan EGM bagi menyingkirkan Presiden.

“Beliau sebenarnya hanya memberitahu, PBJ tidak ada kuasa mendesak Kafa mengadakan EGM tetapi hanya Exco boleh berbuat demikian,” katanya.

Beliau dalam pada itu menggesa PBJ-PBJ lain di negeri ini menunjukkan permuafakatan dengan menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kafa, bukannya menangguk di air keruh demi kepentingan diri semata-mata. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×