KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendakwa wang pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan untuk tujuan pembangunan.
“Wang itu dimasukkan ke dalam akaun yang disatukan maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.
“Jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian namun jika wang itu dibelanjakan untuk pelbagai projek yang ditentukan melalui bajet, ucapan belanjawan di luar atau ucapan belanjawan maka peruntukan tambahan perlu dikemukakan di dewan untuk diperbahaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.
Beliau mengulas pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada sesi Dewan Rakyat semalam mengenai RM18 bilion wang pengembalian kutipan GST telah ‘hilang’ di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 billion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu. – Bernama











