HUT 53: GGK bukti kesetiaan - Utusan Malaysia

HUT 53: GGK bukti kesetiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK nama besar dan pahlawan negara Tentera Darat (TD) datangnya daripada pelbagai unit. Selain pasukan infantri dan bantuan tempur, Gerup Gerak Khas (GGK) tidak ketinggalan melahirkan pejuang terutama ketika penentangan terhadap pengganas komunis.

Malah beberapa penerima pingat Pahlawan Gagah Berani (PGB) dan Seri Perkasa (SP) juga datangnya dari unit ini.

Kisah keberanian pahlawan dari GGK turut tercatat dalam sejarah negara seperti pertempuran di Gubir, Kedah dan juga Ops Subuh di Bukit Jenalik, Perak bersama formasi lain Tentera Darat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun apa yang mendukacitakan kisah pertempuran mereka kini seolah-olah terpadam dalam kalangan generasi muda. Detik pertempuran anggota GGK dengan hampir 400 komunis satu ketika dahulu juga semakin sepi dan cuba digantikan dengan kisah berkaitan komunis.

Yang pasti, selepas 53 tahun ditubuhkan, GGK kini semakin meluaskan peranan mereka sama ada dalam atau luar negara menerusi latihan atau operasi.

Unit-unit bawah naungan GGK seperti Unit Lawan Keganasan (ULK) dan Skuadron Perahu Tempur juga telah memainkan peranan berkesan sebagai salah sebuah pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).

Terbaharu, GGK telah mengadakan Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-53 di Padang Kawad Markas 21 GGK, Kem Seri Iskandar, Mersing, Johor pada Rabu lalu sebagai hari memperingati penubuhan unit itu dan penghargaan kepada wira mereka.

Turut hadir Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Medan Barat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md. Delin; dan Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali.

Acara yang dimulakan dengan perbarisan itu disertai 18 pegawai dan 171 anggota lain-lain pangkat (LLP) dengan diketuai Kolonel Mohd. Fouzi Sulaiman.

Dalam majlis tersebut, Tunku Ismail telah menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga GGK atas kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan menyeru supaya anggota GGK meningkatkan kemahiran serta menanamkan semangat juang tinggi bagi menjadi anggota pasukan khas yang benar-benar mantap.

“Selain itu, warga rejimen juga perlu bersatu dan seharusnya memberi perhatian yang lebih khususnya tahap kesiapsiagaan serta sentiasa proaktif agar membentuk pasukan yang dinamik dalam dunia siber yang serba canggih.

“Pembangunan sumber manusia dan kecanggihan peralatan serta ilmu ketenteraan yang pelbagai juga perlu dimiliki bagi mendorong aspirasi ATM,” titah baginda.

Selain istiadat perbarisan, turut diadakan Majlis Santapan Ringan dan Anugerah Jaguh Sukan kepada atlet GGK yang telah mengharumkan nama pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antara atlet yang diberi anugerah adalah atlet sukan lasak, seni pertahan diri dan tinju. Bagi atlet yang telah dinobatkan sebagai jaguh menerima sijil serta wang tunai RM1000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×