Gabenor Bank Negara: DFIs perlu kekal relevan - Utusan Malaysia

Gabenor Bank Negara: DFIs perlu kekal relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Institusi Kewangan Pembangunan (DFIs) perlu kekal relevan berdepan perubahan ekonomi global dan landskap sosial semasa dengan risiko dan faktor luaran yang memberi kesan kepada pertumbuhan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, DFIs harus mengubah model perniagaan bagi memastikan kemapanan kewangan dalam jangka masa panjang untuk terus memberikan sumbangan kepada negara.

“Dalam jangka masa panjang, DFIs tidak harus bergantung kepada sokongan fiskal dan oleh itu, perlu bagi mereka mempelbagaikan sumber pendanaan supaya dapat memberi impak positif kepada ekonomi dan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, model perniagaan DFIs juga harus berasaskan kepada tadbir urus yang kukuh dan budaya pengurusan yang profesional bagi melindungi organisasi daripada gangguan luaran yang tidak wajar,” katanya berucap pada Forum World Bank dan BNM mengenai pengukuran prestasi DFIs di sini hari ini.

DFIs telah menyumbang kepada transformasi ekonomi dengan membantu mengurangkan ketidaksamaan seperti segmen masyarakat yang tiada atau kurang mendapat liputan telah menerima akses kepada perkhidmatan kewangan.

Nor Shamsiah berkata, DFIs juga perlu mengadaptasikan rangka kerja pengukuran prestasi yang berpandukan kepada objektif pembangunan bagi memastikan penjajaran strategi perniagaan yang memberikan nilai tertinggi.

“Ini kerana, DFIs memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembiayaan dengan menyertai pasaran yang kurang mendapat dan ini adalah pasaran dan sektor yang berisiko tinggi dan penuh ketidakpastian.

“Bagaimanapun, penyelesaian kewangan yang mampan dan berkesan tidak dikhaskan kepada DFIs sahaja, tetapi seluruh sektor kewangan mempunyai tanggungjawab profesional dan sivik untuk memajukan agenda itu,” katanya.

Beliau berkata, BNM komited untuk membangunkan rangka kerja pengawal seliaan yang menyokong dan merealisasikan potensi penuh DFIs menerusi penggunaan perkadaran dalam peraturan.

“Konsep perkadaran ini berkaitan dengan penerapan keperluan berhemah yang berbeza mengikut institusi berdasarkan saiz, kesan sistemik dan kerumitan yang berbeza bagi mengelakkan kos pematuhan yang berlebihan.

“Melangkah ke hadapan, penggunaan perkadaran ini akan dipertingkatkan lagi sebagai usaha untuk mencerminkan hasil pembangunan,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×