KUALA LUMPUR 9 Ogos – Tindakan tergesa-gesa untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 disifatkan sebagai satu lagi langkah populis oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
![]() |
|
Azlina Othman Said
|
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azlina Othman Said berkata, kerajaan tidak seharusnya terburu-buru memansuhkan akta sedia ada kerana pindaan atau penggubalan kepada mana-mana akta harus dibuat dengan penelitian yang mendalam.
Malah, tegas beliau, sekiranya kerajaan PH merasakan terdapat fasal atau seksyen yang tidak lagi bersesuaian atau lapuk, pindaan boleh dilakukan tetapi bukan dengan memansuhkannya.
“Walaupun terdapat beberapa undang-undang berkaitan namun sehingga kini masalah penyebaran berita palsu tidak dapat dikawal secara efektif dan pantas berikutan perkembangan teknologi semasa yang semakin pantas dan kompleks.
“Apatah lagi undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Komunikasi dan Multimedia telah digubal pada atau sebelum tahun 1990-an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan pengedaran teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di bangunan Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE












