KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan bersidang selama lima bulan sebelum membentangkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada minggu pertama Januari 2019.
Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, laporan itu akan merangkumi penemuan dan penilaian menyeluruh aspek serta pengakuan dan syor pengurusan hal ehwal Islam.
“Pada peringkat awal 102 institusi berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan akan dipanggil untuk memberi pendapat dan membentangkan memorandum berkenaan pengurusan dan pentadbiran mereka,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar pertama selepas pelantikan tujuh anggota jawatankuasa itu di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.
Ahmad Sarji berkata, pengumpulan maklumat daripada semua institusi berkenaan akan dipecahkan kepada lima kluster merangkumi sektor syariah dan perundangan, kewangan dan ekonomi, pengurusan, pendidikan dan dakwah. – Bernama











