KUALA LUMPUR 9 Ogos – Penyanyi Haqiem Rusli, 20, bersedia untuk kongsi pengalaman kehidupannya dengan para pelajar selain menghibur mereka dengan lagu-lagu popularnya.
Haqiem ketika dihubungi Utusan Online hari ini berkata, semalam dia telah bertemu dengan para pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SMT Tuanku Jaafar), Seremban menjayakan program yang diatur oleh stesen radio Negeri Fm.
Jelasnya, pada perjumpaan selama dua jam itu, dia bukan sahaja menghibur malah turut menyelitkan kisah pengalamannya untuk pendengaran penonton.
“Macam lagu Jatuh Bangun itu, saya ceritakan kepada pelajar bahawa dalam kehidupan ini pelbagai cabaran mendatang dan kita perlu menghadapinya dengan tabah. Sememangnya itulah yang saya hadapi saat ini.
“Itu merupakan kali pertama saya sertai program sedemikian dan ia menyeronokkan. Jika ada yang sudi menjemput saya untuk acara sebegitu, menyanyi sambil berkongsi pengalaman hidup dengan pelajar, saya tidak akan tolak,” katanya.
Dia yang pernah terpalit dengan isu-isu kontroversi seperti mendakwa diri mengalami kemurungan dan dituduh mereka cerita tentang penyakit tersebut untuk melancarkan single baharu, Selamat Tinggal Sayang.
Selain itu, Haqiem turut dilanda kontroversi dan dia dikatakan kurang ajar kerana merampas mikrofon Mohd. Syamsul Nordin
I Can See Your Voice Malaysia, ketika peserta itu sedang menyanyi.
Kata Haqiem, dia sudah lali dengan segala kecaman daripada warganet dan tidak lagi mudah melatah sebaliknya lebih senang membiarkan pandangan negatif itu berlalu.
“Saya sudah biasa dikecam dan boleh dikatakan setiap hari ada saja yang nak hentam saya. Bagi saya, biarlah orang nak kata apa, janji tidak mengganggu periuk nasi saya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana lagu Selamat Tinggal Sayang mendapat sambutan menggalakkan. Ingatkan orang dah tak suka dengan lagu saya. Perkara itu bagus untuk saya.
“Saya dah tak kisah sebab pernah kena kecam lebih teruk, sekarang ini saya amalkan sikap tak kisah. Lantak lah orang nak buat apa, janji tak ada kesan pada kerja saya. Alhamdulillah, rezeki saya lagi bertambah masuk. Setakat ini warganet cuma kecam dekat media sosial saja,” katanya tanpa risau.
Jelas Haqiem, sekarang ini keadaan dirinya semakin pulih biarpun sering dikecam kerana dia mendapat sokongan daripada kawan-kawan agar tidak terus murung.
“Sekarang ini saya sudah dapat nilai siapa kawan siapa lawan dan akan berhati-hati untuk berkawan. Sebelum ini depan saya bukan main baik dan bila belakang kita, macam-macam dia kata. Biarlah tak ramai kawan kalau hanya menyakitkan hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE











