PULAU PINANG 9 Ogos – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) negeri menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa yang mengarahkan poster berkaitan golongan lesbian, gay, bseksual dan transgender (LGBT) dalam satu pameran di sini diturunkan.
Ketuanya, Mohd. Saifullah Abdul Nasir berkata, tindakan itu tepat sebagai menunjukkan ketegasan kerajaan yang mana budaya LGBT tidak wajar dipromosikan kepada umum.
Apatah lagi, kata beliau, pameran berkaitan LGBT itu dibuat di ruang terbuka di Dewan Seri Pinang di sini yang turut dihadiri golongan kanak-kanak sekali gus boleh memberi mesej yang salah kepada generasi muda.
“Bagi kita selagi golongan ini bergerak secara peribadi tidak menjadi isu, tetapi kita menolak kumpulan ini dipromosikan secara terbuka dan melibatkan orang awam lain.
“Ini kerana budaya LGBT ini bukan sahaja dilarang oleh agama, tetapi bertentangan dengan norma-norma manusia serta melanggar undang-undang negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











