KUALA LUMPUR 9 Ogos – Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. (Dagang Net) anak syarikat milik penuh Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Audatex Malaysia Sdn. Bhd. untuk menyediakan sistem data komprehensif bagi tuntutan pembaikan kenderaan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin berkata, kerjasama berkenaan merangkumi penyediaan sistem pembaikan berkomputer dan nombor pengenalan kenderaan (VIN) yang disokong oleh data.
Katanya, sistem tersebut akan memberikan pelbagai maklumat seperti tempoh membaiki bagi jenama dan model tertentu berdasarkan keadaan pasaran semasa.
“Sistem ini bermatlamat untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam proses tuntutan melalui penyediaan maklumat yang tepat termasuk semua kos yang terlibat.
“Penggunaan sistem berkomputer juga membantu mempercepatkan keseluruhan proses sebanyak 20 peratus. Kami menjangkakan sistem ini mula beroperasi pada suku pertama 2019,” katanya dalam majlis menandatangani MoU antara Dagang Net dan Audatex di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











