KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk membentangkan kertas putih dalam sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mendedahkan situasi sebenar yang dihadapi oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentangan kertas putih itu akan turut membabitkan perancangan strategik pemulihan agensi tersebut.
“Kedudukan kewangan Felda yang kritikal pada hari ini adalah legasi kepemimpinan terdahulu yang lemah dalam tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab.
“Jadi, kerajaan baharu komited untuk memulihkan Felda secepat mungkin demi kesejahteraan peneroka-peneroka selaras dengan matlamat penubuhan agensi itu dibawah Akta Kemajuan Tanah 1956,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan proses penstrukturan Felda terkini yang dilaporkan mengalami masalah kewangan dan urus tadbir. – UTUSAN ONLINE











