PUTRAJAYA – Seorang Polis Bantuan berpangkat koperal ditahan reman selama empat hari hingga 12 Ogos bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM1,300 di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Ainna Sherina Saipolamin memberikan kebenaran tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
SPRM semalam telah menahan lelaki berusia 33 tahun itu kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM1,300 daripada seorang warga asing.
Menurut sumber, dia ditahan pada pukul 3.20 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Suspek disyaki telah menerima suapan daripada seorang warga asing sebagai balasan untuk melepaskan barangan yang melebihi berat untuk menaiki penerbangan dari Malaysia ke Bandung, Indonesia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, beberapa individu lain akan dipanggil susulan penahanan polis bantuan tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Ruslan Che Amad mengesahkan tangkapan tersebut. – K! ONLINE











