Terima RM40 sebulan - Utusan Malaysia

Terima RM40 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Suri rumah yang berdaftar di bawah program Sukarela Insentif (Suri) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal menerima sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM40 sebulan bermula pada 15 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, program fasa satu itu menyasarkan golongan suri rumah yang terdiri daripada isteri kepada ketua isi rumah, ibu tunggal dan balu yang berdaftar dengan e-Kasih yang hanya perlu menyimpan paling minimum sebanyak RM5 dalam akaun KWSP masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan kemudian akan menaikkan sumbangan tersebut kepada RM50 dalam fasa kedua dengan tambahan RM10 itu akan disumbangkan menerusi akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi memandangkan perlindungan di bawah Perkeso tidak melibatkan suri rumah, ia memerlukan perubahan dari segi undang-undang bagi menjayakan fasa kedua, sama juga dengan fasa ketiga yang mana dua peratus simpanan KWSP pihak suami akan disumbangkan ke akaun KWSP pihak isteri tetapi fasa ini memerlukan masa kerana kerajaan perlu meminda Akta KWSP 1991 atau mungkin menggubal undang-undang baharu terlebih dahulu.

“Insentif Suri juga merupakan sebahagian daripada janji 100 hari Pakatan Harapan, Alhamdulillah kita dapat melaksanakannya dalam tempoh yang ditetapkan, jadi ini satu inisiatif daripada kerajaan untuk memberi perlindungan sosial terutama­nya kepada golongan suri rumah yang kadang-kadang masyarakat terlupa atau terlepas pandang tetapi golongan ini juga perlu beri komitmen, kena ada usaha bantu diri sendiri dan menabung untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan skim KWSP untuk suri rumah sempena Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa 2018 di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi melaksanakan fasa pertama meliputi seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih yang bermula dari minggu hadapan hingga hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah menjelaskan secara spontan me­ngenai langkah kerajaan terhadap para suami yang bergelar suri rumah sepenuh masa yang mana isteri mereka keluar bekerja.

“Kerajaan bertanggungjawab membantu suri rumah dan ini termasuk ibu atau bapa yang tunggal, tetapi kalau suri rumah lelaki, mungkin perlu dilaksanakan skim lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×